MBI peruntuk RM1.6 juta untuk latihan dalam aeroangkasa - Utusan Malaysia

MBI peruntuk RM1.6 juta untuk latihan dalam aeroangkasa

IBU bapa tidak melepaskan peluang membawa keluarga melihat pameran pada Selangor Aviation Show (SAS) 2022 di Skypark Regional Aviation Centre (RAC) Bukit Jelutong, Shah Alam hari ini. SAS 2022 ini akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 10 September 2022 dan akan mempamerkan 29 kapal terbang termasuk helikopter. Pameran selama tiga hari ini akan dipenuhi dengan pelbagai program menarik termasuk forum industri, pembentangan, aktiviti kerjasama dan program pembelajaran untuk pelajar dalam pengajian penerbangan termasuk joyride untuk orang ramai. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan oleh Menteri Besar Selangor (Incorporated) untuk Program Perantisan Aeroangkasa Selangor dengan kerjasama GE Engine Services Malaysia Sdn. Bhd. (GE Malaysia).

Pengarah Urusan Perkhidmatan Malaysia GE Malaysia, Suresh Kumar Shunmugam berkata, program dan usahasama selama dua tahun tersebut dijangka bermula seawal suku keempat tahun ini atau awal tahun depan.

Katanya, sebanyak 50 calon yang terdiri daripada lepasan diploma daripada sekolah penerbangan akan dipilih untuk menyertai program latihan industri pekerjaan.

“Antara 80 hingga 85 peratus masa mereka adalah untuk latihan pekerjaan manakala 10 peratus untuk latihan penerbangan serta kira-kira lima hingga 10 peratus lagi berkaitan kepimpinan dan sebagainya.

“Melalui usahasama ini kami akan memberi latihan kepada mereka untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dalam bidang ini. Apabila mereka tamat latihan tersebut, mereka akan ditawarkan peluang pekerjaan dengan kami.

“Perkara ini adalah sejajar dengan pelan pertumbuhan kami. MBI telah memperuntukkan RM1.6 juta untuk program ini dan kami berharap dapat memberi nilai yang sama program latihan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2022 dan pelancaran program terbabit di Skypark Regional Aviation Centre (RAC), Subang Jaya Industry Park di sini hari ini.

Sementara itu, Suresh berkata, calon yang terpilih akan mendapat latihan yang tidak boleh didapati di tempat lain di Malaysia kerana GE Malaysia adalah satu-satunya syarikat yang melakukan ‘overhaul’ enjin komersial di Malaysia.

“Kami akan memberikan pengalaman yang berguna kepada peserta. Jadi ia adalah latihan berkualiti tinggi,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga terbuka untuk melanjutkan lagi program tersebut bukan sahaja dari segi juru teknik tetapi juga kepada calon kejuruteraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN