MELAKA: Langkah Melaka United terus longlai apabila sekadar seri 0-0 ketika berdepan finalis Antara Zon Piala AFC, Kuala Lumpur City (KL City) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.
Keputusan seri itu pastinya melegakan pengendali Melaka United, Asri Ninggal selepas skuad Sang Kancil tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini bermula kekalahan 0-4 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-4, 0-5 berdepan Terengganu FC dan 0-3 kepada Kedah.
Pujian juga harus diberikan kepada penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali yang beraksi cemerlang apabila menyelamatkan tidak kurang daripada tujuh percubaan jentera serangan KL City yang sepatutnya menghasilkan gol.

Tanpa kelibat ayam tambatan, Sony Norde, Emmanuel dan Adriano Narcizo, jurulatih Melaka itu meletakkan Faris Shah di barisan hadapan bergandingan dengan Ifedayo Olusegun dalam usaha tuan rumah menembusi kubu lawan.
Bagaimanapun KL City terlebih dahulu melakukan percubaan menerusi Hadin Azman namun rembatannya tinggi melepasi palang gol pada minit ke-17.

Pasukan kendalian Bojan Hodak jelas menguasai keseluruhan permainan namun gagal mencipta jaringan.
Bersambung babak kedua, KL City terus melakukan asakan yang hampir memecah kebuntuan namun rembatan kencang Zafri pada minit ke-47 sekadar menggegar tiang gol tuan rumah.
Meskipun juara Piala Malaysia 2021 itu mengutip satu mata namun mereka masih kekal di tangga keenam liga dengan mengutip 26 mata manakala Melaka pula di tangga kesembilan dengan 18 mata. – UTUSAN ONLINE