Jasad Ratu Elizabeth II tiba di Istana Buckingham - Utusan Malaysia

Jasad Ratu Elizabeth II tiba di Istana Buckingham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Keranda mendiang Ratu Elizabeth II tiba di Istana Buckingham di London, ketika puluhan ribu orang membanjiri jalanan dalam keadaan hujan lebat untuk memberi penghormatan terakhir kepada ratu kesayangan mereka.

Kereta mayat yang membawa keranda mendiang Ratu Elizabeth tiba sejurus selepas 8 malam (waktu tempatan) selepas diterbangkan dari Edinburgh bagi persiapan untuk upacara istiadat pemakaman yang akan berlangsung pada 19 September ini.

Menurut seorang jurucakap istana, Raja Charles III berkumpul bersama tiga adiknya serta Putera William, Putera Harry dan ahli keluarga diraja yang lain ketika keranda mendiang Ratu Elizabeth sampai di perkarangan Istana Buckingham dari lapangan terbang berhampiran.

Keranda mendiang ratu diperbuat daripada kayu oak dan dilitupi bendera ‘Royal Standard’ Scotland bersama kalungan bunga.

Jasad Ratu Elizabeth kini akan ditempatkan di Istana Buckingham sebelum dibawa ke Westminster Abbey sehingga upacara istiadat pemakaman.

Sebelum ini, jasad baginda ditempatkan di Istana Holyroodhouse di Edinburgh selepas melalui perjalanan selama enam jam dari Istana Balmoral.

Baginda menghembuskan nafas terakhir di Istana Balmoral, Scotland.

Suasana sayu mengiringi konvoi kenderaan jenazah, dengan ribuan rakyat jelata berbaris di sepanjang jalan-jalan utama, bagi memberikan penghormatan terakhir. – AFP/REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN