PETALING JAYA: Malaysia berjaya membuatkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ‘menari’, berehat seketika dan akhirnya bekerjasama menyelesaikan isu tarif yang dihadapi Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia telah membuktikan bahawa penyelesaian berhubung isu tarif timbal balas dengan AS boleh dicapai melalui rundingan berterusan.
Beliau berkata, langkah itu selaras dengan strategi Malaysia mempelbagaikan ekonomi serta memperkukuh hubungan perdagangan dengan pelbagai rakan antarabangsa termasuk AS, China, Afrika Selatan dan Brazil.
Katanya, atas dasar itu, beliau turut menjemput Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva sebagai tetamu pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Oktober lalu.
“Saya juga menjemput rakan baik anda, Presiden Donald Trump dan perbincangan itu telah menghasilkan sesuatu,” katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan bersama Peneraju Industri Afrika Selatan.
Perkara itu menarik perhatian seramai 200 peserta forum berkenaan memandangkan Afrika Selatan kini berdepan tarif tinggi dikenakan Washington.
Sebelum ini, AS mengenakan tarif unilateral sebanyak 30 peratus terhadap kebanyakan barangan dari Afrika Selatan yang berkuatkuasa 7 Ogos 2025.
Perdana Menteri berkata, tarif timbal balas terhadap Malaysia berjaya dikurangkan kepada 19 peratus berbanding kadar asal 24 peratus hasil daripada rundingan itu.
Katanya, dalam pertemuan dua hala dengan Ramaphosa, beliau yakin isu tarif boleh diselesaikan menerusi dialog berterusan.
“Saya beritahu Presiden Ramaphosa supaya jangan risau. Jemput beliau (Trump) datang seperti yang saya buat, buat dia menari, berehat dan selesaikan isu itu,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perdagangan merupakan keutamaan yang penting bagi AS, Malaysia dan Afrika Selatan.
“Saya percaya ia boleh diselesaikan. Itu cara saya tangani masalah. Saya seorang yang optimis. Penting juga untuk kekal fokus terhadap dasar ekonomi serta memastikan pelaksanaannya cekap,” katanya.
Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dianggotai AS, Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turkiye, United Kingdom, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.
Sidang G20 tahun ini merupakan yang pertama dianjurkan di benua Afrika. – UTUSAN










