CX tawarkan RM41,500,buat julung kali di Malaysia

CX tawarkan RM41,500,buat julung kali di Malaysia

KEJOHANAN CX sememangnya sudah terkenal di Eropah namun kali ini akan dipertandingkan di Malaysia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cyclocross atau lebih dikenali dengan nama singkatan CX bakal dianjurkan buat kali pertama di Malaysia membabitkan tiga siri perlumbaan tempatan dan diakhiri satu saingan peringkat antarabangsa.

Perlumbaan berbasikal unik dan mencabar ini bakal dianjurkan oleh Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan enam kategori.

Ketua Pegawai Operasi (COO) kejohanan, Mohd Amrin Zairy Adham, berkata CX adalah gabungan tiga disiplin utama berbasikal dalam satu masa iaitu basikal bukit, basikal lebuh raya dan merentas halangan.

“Umumnya, CX lebih dianjurkan di negara-negara barat seperti di Eropah dan Amerika Syarikat sekitar bulan Oktober hingga Februari setiap tahun mengikut kalendar pertandingan dalam siri dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Bagaimanapun, kali ini komuniti CX di Malaysia berpeluang untuk mempamerkan kemahiran dan kemampuan masing-masing dengan menyertai tiga siri perlumbaan Perak, Putrajaya dan Pahang.

“Ia merangkumi halangan semula jadi, bentuk permukaan muka bumi serta laluan teknikal yang pastinya mencabar, memberi kepuasan serta pengalaman unik kepada para peserta dan juga penonton,” katanya.

Tambah Amrin dengan penganjuran tiga siri utama kejohanan ini, ia bakal membuka peluang kepada pelumba tempatan dan antarabangsa untuk mengambil bahagian selain menjadi satu acara promosi kepada sektor pelancongan melalui sukan di Malaysia khususnya pelancongan negeri yang menjadi tuan rumah.

Saingan CX akan bermula dengan siri 1 pada 22 dan 23 Oktober depan di Gunung Lang, Ipoh, manakala Siri 2 pula dijalankan pada 26 dan 27 November di Padang Semarak, Wetland, Putrajaya dan Siri 3 dan Grand Final berlangsung pada 17 Disember.

Dalam perkembangan sama, bagi mengetengahkan penganjuran Cyclocross ini di peringkat antarabangsa, satu saingan khusus akan dianjurkan iaitu Malaysia International Cyclocross Championship yang akan berlangsung pada 18 Disember 2022 juga di Taman Awam Bera.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Lelaki Bawah 23 tahun, Lelaki Terbuka, Lelaki Master, Wanita Terbuka dan dua acara khas MTB Terbuka Lelaki serta MTB Terbuka Wanita.

“Bagi setiap siri kejohanan, 20 peserta teratas akan memperolehi mata kemenangan bagi melayakkan diri untuk menyertai acara utama di Grand Final. Kelayakan peserta bagi menyertai acara utama ini adalah ditentukan oleh pungutan tertinggi mata peserta. Pengumpulan mata boleh diperolehi melalui penyertaan setiap siri yang dipertandingkan.

“Hadiah wang tunai keseluruhan bagi setiap siri perlumbaan berjumlah RM11,500, manakala untuk Grand Final pula RM30,000, pemenang juga bakal merangkul jersi utama kejohanan bagi setiap kategori yang dipertandingkan” ujar Amrin.

Turut berlangsung di kejohanan berkenaan ialah acara sokongan berbentuk karnival mini diadakan selama tiga hari di setiap lokasi siri penganjuran(Perak, Putrajaya, Pahang) bagi menambahkan kemeriahan perlumbaan mendokong penjanaan sosial ekonomi tempatan kepada para pengunjung dan komuniti setempat.

“Dengan bertemakan ENJOY MALAYSIA, setiap lokasi penganjuran akan diadakan pelbagai program dan aktiviti bagi penglibatan orang ramai, peserta acara, pengamal media dan pegawai acara,” katanya.

Antara program yang dirancang adalah pameran, promosi dan jualan produk, kiosk informasi agensi kerajaan, sukaneka rakyat, persembahan pentas, pesta kebudayaan dan acara berbasikal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.