Sri Pahang menang lagi

Sri Pahang menang lagi

PEMAIN Sri Pahang meraikan jaringan pada aksi Liga Super berdepan PJ City di Stadium MBPJ, di sini hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sri Pahang melakar kemenangan ketiga berturut-turut di bawah bimbingan Dollah Salleh apabila menewaskan Petaling Jaya City (PJ City) 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Sejak dilantik selaku ketua jurulatih sementara bersama Fandi Ahmad sebagai penasihat teknikal pada 21 Julai lalu, Tok Gajah meraih mata penuh pada aksi menentang Selangor FC (2-0) dan Kedah Darul Aman FC (2-0).

Pasukan pelawat membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi  Abdul Malik Mat Arif yang bijak mencuri ruang dan melakukan tandukan selepas menerima hantaran Baqiuddin Shamsudin untuk menewaskan benteng terakhir PJ City, Kalamullah Al Hafiz.

Aksi hambar disajikan tuan rumah memberi ruang dan kelebihan buat pelawat yang dilihat lebih agresif mengatur gerakan memburu gol.

Penyerang import Tok Gajah, Steven Rodriguez memastikan pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol selepas mencatatkan nama selaku penjaring pada masa tambahan babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah mula memberi tekanan dengan mengatur beberapa gerakan merbahaya, namun benteng pelawat tetap utuh mengekang asakan tersebut.

Rodriguez hampir menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga buat pasukan pada minit ke 86, namun rembatannya terkena palang ketika Kalamullah hanya mampu memerhati.

Ketika perlawanan bakal ditamatkan dengan keputusan 2-0, Manuel Hidalgo tidak ketinggalan mencetak nama selaku penjaring gol ketiga pada minit ke-90 untuk melengkapkan malam gemilang dengan kemenangan 3-0.

Kemenangan diraih Sri Pahang menyaksikan mereka mengutip 17 mata hasil empat kemenangan, dua seri dan tujuh kekalahan untuk berada di kelompok pertengahan Liga Super. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya