Skuad B-19 berputih mata, tewas 1-2 ditangan Vietnam - Utusan Malaysia

Skuad B-19 berputih mata, tewas 1-2 ditangan Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Jaringan pada masa tambahan di babak kedua menafikan impian skuad bawah 19 tahun negara (B-19) untuk meraih satu mata selepas kecundang 1-2 pada Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Thanh Nien B-19 ke-4 2022 menentang Vietnam di Stadium Binh Duong, sebentar tadi.

Terikat tanpa jaringan pada aksi pertama menantang Thailand, Jumaat lalu, anak didik Hassan Sazali Waras berdepan tentangan sengit dari tuan rumah khususnya pada babak kedua perlawanan.

Skuad Harimau Muda terlebih dahulu berada didepan pada minit kelima menerusi Nazrin Nasir yang mengejutkan penyokong Garuda Emas muda itu.

Gol berkenaan nyata memperlihatkan corak agresif tuan rumah bagi memburu gol penyamaan ketika pemain Malaysia lebih banyak bertahan dan hanya sesekali melancarkan serangan balas.

Usaha berterusan pemain tuan rumah memburu gol akhirnya terhasil menerusi Nguyen Duc Anh pada minit ke-28 untuk kedudukan 1-1.

Walaupun Vietnam mahupun Malaysia saling melancarkan serangan memburu gol namun keputusan seri 1-1 itu kekal sehinggalah tamat 45 minit babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus mempertingkatkan corak permainan agresif menyebabkan pemain negara banyak bergerak dalam kawasan sendiri.

Ketika perlawanan bakal ditamatkan dengan keputusan seri 1-1, Vietnam dihadiahkan sepakan penalti dan Khuat Van Khang tidak melepaskan peluang dengan menyempurnakan sepakan tersebut untuk kemenangan 2-1 ke atas seteru utama, Malaysia.

Keputusan 1-2 ini merupakan kekalahan pertama skuad Harimau Muda selepas terikat tanpa jaringan untuk berkongsi satu mata ketika menentang Thailand, Jumaat lalu.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ketiga dengan satu mata manakala Vietnam gah di tangga teratas hasil dua kemenangan manakala Thailand mengumpul empat mata selepas menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi sebelah petang tadi.

Selepas ini Malaysia akan menentang Myanmar selang dua hari kemudian bagi melengkapkan aksi empat penjuru dengan dua pasukan teratas akan bertemu di final.

Dua pasukan berikutnya bakal beraksi untuk penentuan tempat ketiga/keempat pada Khamis, 11 Ogos 2022.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya