PETALING JAYA: Semua negeri disaran menerima pakai cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan bertukar parti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, saranan itu bertujuan mengekalkan kestabilan politik negara sekali gus mencapai keseragaman sistem bukan sahaja peringkat Persekutuan, malah negeri.
Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memaklumkan kepada semua kerajaan negeri untuk membuat pindaan terhadap perlembagaan negeri masing-masing.
“Sebagai tindakan susulan, Jabatan Peguam Negara akan menjalankan proses untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.
“Seterusnya, perintah kuat kuasa tarikh peruntukan akan dikemukakan kepada Seri Paduka mengikut Fasal 1 RUU tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh 52 sokongan Ahlinya manakala tujuh lagi tidak hadir.
Terdahulu, Wan Junaidi berkata, pindaan itu dijangka dapat dikuatkuasakan sebelum pertengahan bulan depan.
Jangkaan itu bersesuaian dengan garis masa yang diperlukan untuk RUU itu diperkenankan oleh Seri Paduka mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan sebelum dapat diwarta dan mula dikuatkuasakan. –UTUSAN










