KOTA BHARU: Tempoh tahanan reman ke atas 10 individu termasuk empat beranak disambung tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes rusuhan di Pasar Awam Melor di sini pada Khamis lalu sehingga video pergaduhan tersebut tular dalam media sosial.
Perintah lanjutan reman sehingga Jumaat ini dibenarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid terhadap lima lelaki dan lima wanita berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 50-an itu.
Lanjutan reman itu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.
Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini semalam turut membenarkan dua beradik wanita berusia 28 tahun dan 30 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut disambung reman tiga hari sehingga Khamis.
Utusan Malaysia melaporkan, polis menahan 12 individu yang terdiri daripada lima lelaki dan tujuh wanita bagi membantu siasatan berhubung rusuhan di Pasar Awam Melor.
Kejadian pukul 2.30 petang itu menyebabkan seorang wanita mengalami kecederaan pada bahagian badan. – UTUSAN










