PUTRAJAYA: Seorang individu yang merupakan bekas menteri hari ini menyambung memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berhubung kes rasuah kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah jenis Lamborghini.
Kenderaan berwarna putih yang membawa beliau dilihat memasuki pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini pada pukul 10.01 pagi tadi.
Cubaan media untuk mendapatkan reaksi beliau bagaimanapun tidak berjaya.
Semalam individu berkenaan dilaporkan berada di Ibu Pejabat SPRM lebih tujuh jam untuk disoal siasat berhubung siasatan kes rasuah yang dikaitkan dengan projek papan iklan serta urusan pemindahan tanah di ibu negara.
Dia dipercayai meninggalkan pekarangan ibu pejabat SPRM pada pukul 5.50 petang, selepas tiba sekitar pukul 10.30 pagi.
Media sebelum ini melaporkan seorang bekas menteri memberi keterangan kepada SPRM berhubung wang rasuah kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah jenis Lamborghini.
Menteri itu menerima rasuah berkaitan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.
Kereta mewah itu diterima daripada sebuah syarikat pembuat papan iklan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan dibuka mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, laporan media turut mendedahkan seorang bekas anggota Kabinet sebelum era pandemik Covid-19 berada dalam fokus siasatan SPRM.
Siasatan itu susulan dakwaan berlaku penyelewengan semasa tempoh perkhidmatan beliau di sebuah kementerian, termasuk pemindahan sebidang tanah kerajaan bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka. – UTUSAN









