ANTANANARIVO: Polis Madagascar mengesahkan menembak mati 19 orang dan mencederakan 21 yang lain selepas mereka disifatkan sebagai perusuh yang marah atas penculikan seorang kanak-kanak albino.
“Sembilan belas orang kehilangan nyawa dan 21 cedera dan masih dirawat” di hospital Ikongo di tenggara negara itu, kata polis dalam satu kenyataan.
Laporan sebelum ini daripada polis pada Isnin meletakkan angka kematian 11 maut, walaupun doktor berkata 18 terbunuh.
Kira-kira 500 penunjuk perasaan bersenjatakan pisau dan parang didakwa cuba memasuki balai polis, kata sumber yang tidak mahu namanya disiarkan kepada AFP.
Penduduk bandar Ikongo, 350 kilometer (kira-kira 220 batu) dari ibu kota Antananarivo, telah reda pada Selasa, kata polis.
Pegawai tambahan juga dikerahkan “untuk menjaga keamanan”.
Siasatan terhadap kejadian itu sedang dijalankan, kata polis, sambil turut mengucapkan takziah kepada keluarga si mati.
Ketua polis negara Andry Rakotondrazaka mempertahankan pegawainya pada sidang akhbar Isnin, berkata mereka telah melakukan segala yang mereka mampu untuk mengelak konfrontasi tetapi tidak mempunyai pilihan untuk mempertahankan diri.
Beberapa negara Afrika sub-Sahara telah mengalami gelombang serangan terhadap penghidap albinisme, yang bahagian tubuhnya dicari untuk amalan sihir dengan kepercayaan yang salah bahawa mereka membawa tuah dan kekayaan.