BONGAWAN: Barisan Nasional (BN) menegaskan komitmen untuk terus memperkukuhkan kedudukan politiknya dengan memberi tumpuan kepada empat fokus utama dalam perjuangan parti.
Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said berkata, empat golongan yang menjadi nadi perjuangan BN ialah penyokong setia, bekas penyokong berakar umbi UMNO, bukan ahli parti tetapi menyokong BN, serta generasi muda yang mewakili masa depan.
“Penyokong setia adalah tulang belakang kita, bekas penyokong mesti kita raikan kembali, bukan ahli yang bersama kita adalah sebahagian daripada kekuatan, manakala anak muda pula mewakili masa depan perjuangan ini,” katanya berucap dalam Program Radu Tatap Radu (RTR) di Padang Biau, Bongawan di sini, hari ini.
Program RTR Bongawan yang menghimpunkan penduduk tempatan diadakan penuh semangat dengan kehadiran barisan kepimpinan UMNO Sabah dan nasional.
Antara yang hadir, Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin; Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Sambutan hangat daripada penduduk setempat jelas menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap hala tuju BN, selain membuktikan program berbentuk libat urus terus menjadi platform ampuh dalam mengukuhkan hubungan parti dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Salleh menegaskan, UMNO dan BN bukan sahaja terbuka untuk ahli, sebaliknya merangkumi semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
Justeru katanya, fokus utama BN adalah memastikan peluang pekerjaan diwujudkan, meluaskan akses pendidikan dan membina masa depan lebih baik untuk generasi muda.
Menurut beliau, keutamaan terhadap empat kelompok utama itu merupakan strategi penting dalam memastikan BN terus relevan dan mendapat tempat di hati rakyat, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.










