KOTA BHARU : Seorang peniaga dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar methamphetamine atau syabu seberat 97 gram di Tanah Merah dekat sini empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas menetapkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh, Noor Hesham Hamid, 42, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan hari ini.
“Keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak konsisten dan bersifat difikirkan semula termasuk dalam soal pemilikan dadah yang dirampas.
“Tertuduh juga didakwa sengaja mereka cerita mengenai dua individu yang ada bersamanya ketika serbuan dilakukan. Selain itu, individu tersebut nyata tidak muncul malah tidak dapat dinyatakan nama penuh, pengenalan diri dan bangsa sehingga hari ini,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Noor Hesham didakwa mengedar 97 gram dadah jenis methamphetamine di tepi jalan Taman Manal Jaya, Tanah Merah dekat sini kira-kira pukul 8.30 malam pada 26 November 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd. Arshad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Ridzuan Mohamad.
Terdahulu, Norazlinawati meminta satu hukuman berat dan setimpal terhadap kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh memandangkan kes dadah semakin berleluasa.
Menurutnya, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan hukuman yang setimpal itu mampu memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. –UTUSAN










