Pemain, barisan jurulatih KDA FC diganggu penyokong

Pemain, barisan jurulatih KDA FC diganggu penyokong

Prestasi tidak konsisten Kedah Daruk Aman FC turut berpunca daripada gangguan segelintir penyokong.-KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penaung Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Abu Bakar mendedahkan terdapat dalam kalangan pemain serta barisan kejurulatihan pasukan itu yang berdepan gangguan daripada pihak tertentu kebelakangan ini.

Menurutnya, perkara itu agak melampaui batas apabila turut melibatkan ahli keluarga warga pasukan tersebut.

“Kita ambil perhatian serius di mana terdapat segelintir penyokong yang agak melampaui batas. Antara gangguan diterima adalah panggilan telefon kepada ahli keluarga serta kacau ganggu kepada pemain itu sendiri hingga minda mereka tertekan.

“Saya fikir ini sesuatu yang tidak sihat ketika kita mahu para pemain merasa yakin setiap kali turun beraksi, tanpa ada ugutan dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Lawatan dan Sumbangan Masyarakat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rambai, Jalan Tokai di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali dan Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak serta beberapa pemain pasukan berkenaan.

Difahamkan, gangguan tersebut dipercayai dilakukan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan prestasi terumbang-ambing ditampilkan Sang Kenari dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Daud berkata, KDA FC setakat ini masih belum sampai ke peringkat untuk mengambil tindakan lebih tegas kerana menganggap rata-rata penyokong KDA FC sentiasa rasional.

“Cuma ada segelintir kecil yang melampaui batas hingga mengganggu pemain, keluarga, kejurulatihan dan sebagainya. Ini bukan budaya kita tatkala kita mahukan komen membina dan bukannya yang meruntuhkan keharmonian pasukan.

“Ini budaya yang tidak baik kerana kita mahu pemain serta jurulatih bekerja dalam keadaan tenang, tenteram tanpa diganggu sebarang komunikasi tidak wajar. Kita tidak sempurna serta banyak kelemahan tetapi kita tahu di mana titik-titik kecederaan serta sedang mengatasinya satu demi satu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, dua pemain import yang sudah lama berehat, Dechi Marcell serta Marc Vales dijangka dapat diturunkan tidak lama lagi setelah kecederaan dialami kian pulih.

“Saya difahamkan oleh jurulatih yang kedua-dua mereka akan kembali bersama pasukan tidak lama lagi. Insya Allah kita doakan mereka sihat dan boleh diturunkan menentang Sabah pada 17 Ogos ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.