KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) akan mendesak kerajaan agar mengadakan satu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi membincangkan isu ancaman keselamatan susulan tuntutan waris Sultan Sulu.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, memandangkan usul mengenai ancaman keselamatan itu ditolak pada sidang DUN kali ini maka, beliau akan menghantar surat bagi menggesa satu sidang khas diadakan.
“Apa akan terjadi kalau ada pembolosan seperti berlaku di Tanduo (Lahad Datu). Kemana kita mahu menjaga keselamatan nyawa manusia. Isu ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan hari ini.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, surat itu akan dikemukakan kepada DUN Sabah dalam masa terdekat.
Menurutnya, beliau kesal dengan apa yang berlaku. Walaupun itu hak mereka untuk menolak usul tersebut namun, selaku wakil rakyat, beliau akan menggunakan landasan Dewan Rakyat dan DUN bagi suarakan kebimbangan rakyat.
“Kalau mereka tidak mahu kita bersuara dalam Dewan maka, jangan kawal kita di luar Dewan. Ini hak rakyat, jika bangkitkan di dalam Dewan tidak boleh, kena ada kebebasan bersuara di luar.
“Kita tidak mahu membataskan suara kita jika ia membabitkan hak dan kedaulatan negara ini,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, alasan yang diberikan bagi menolak usul tuntutan waris Sultan Sulu dibahaskan di Dewan Rakyat dan DUN Sabah tidak munasabah.
Menurut Mohd. Shafie, Dewan berhak menolak atau menerima usul dikemukakan. Namun, perkara ini perlu diperhalusi dan dibincangkan.
“Pasal apa kita takut tentang undang-undang yang ada kerana Sabah adalah sebahagian daripada negara Malaysia dan undang-undang itu diluluskan di United Kingdom. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi referendum yang dibuat.
“Kedaulatan Sulu tiada di Filipina maka, undang-undang apa yang kita bimbang sangat didedahkan sedangkan di Filpina bincangkan perkara ini dibincangkan secara terbuka di dewan kongres mereka.
“Apa yang kita patut bimbang adalah nyawa manusia. Walaupun kita tidak iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu namun, isu ancaman keselamatan ini perlu dibincangkan,” katanya.
Pada Isnin, usul membahaskan isu tuntutan waris Sultan Sulu ditolak serentak di Dewan Rakyat dan DUN Sabah.
Pada Rabu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menyatakan isu tuntutan waris Sultan Sulu tidak dibahaskan bagi mengelak strategi dan perancangan kerajaan dalam menangani kes yang masih berjalan di mahkamah diketahui pihak lawan.
Hari ini, usul yang dikemukakan semula oleh Mohd. Shafie selaku Ketua Pembangkang DUN Sabah sekali lagi ditolak Speaker DUN, Datuk Kadzim M. Yahya.
Speaker menyatakan usul itu ditolak berdasarkan peraturan tetap 23A (2) iaitu mana-mana usul yang ditolak di bawah perenggan satu tidak boleh dikemukakan dan tidak boleh dibacakan dalam majlis mesyuarat.-UTUSAN










