Tiada binaan baharu di Bukit Malut

Tiada binaan baharu di Bukit Malut

KERJA-KERJA merobohkan rumah yang tidak berpenghuni di penempatan haram Bukit Malut oleh Permodalan Kedah Berhad di Langkawi. – UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kerja-kerja membina rumah baharu di perkampungan Bukit Malut, di sini sudah tidak kelihatan sejak Permodalan Kedah Berhad (PKB) mula merobohkan rumah kosong dalam proses pembinaan, pada akhir bulan lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di perkampungan itu juga mendapati, simbol ‘pangkah’ yang dicat dengan warna merah pada din­ding rumah-rumah penduduk yang lain mula bertambah setelah PKB selesai mengeluarkan notis pengosongan kepada 41 buah rumah yang terlibat.

ABDUL Muthalib Majid menunjukkan notis menghadiri proses mengukur tanah yang pernah diterimanya ketika ditemui di Kampung Padang Mengkuang, Bukit Malut di sini. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ketika ini, penduduk yang masih tinggal di perkampungan itu bertambah resah ekoran tidak tahu hala tuju selepas ini apabila baki tiga bulan mengikut notis yang diterima semakin menuju ke tarikh pengosongan.

Wakil penduduk, Abdul Rahim Ali, 31, berkata, mereka masih cuba mencari jalan penyelesaian bagi isu penempatan semula termasuk menaruh harapan untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.

Katanya, penduduk telah mengutus sepucuk surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara itu.

“Saya menghantar surat tersebut kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha yang lalu melalui Yang Dipertua Pas Kawasan Pendang, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah.

“Setakat ini kami belum menerima sebarang jawapan atau maklum balas daripada Menteri Besar menyebabkan kami buntu untuk melakukan perkara seterusnya,” katanya ketika ditemui semalam.

Pada 28 Jun lalu, akhbar ini melaporkan penduduk Bukit Malut yang menerima notis untuk mengosongkan penempatan mereka tertanya-tanya keadaan masing-masing setelah beberapa buah rumah telah dirobohkan.

Penduduk di situ juga masih menanti perkembangan selanjutnya daripada kerajaan me­ngenai cadangan yang diutarakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya membina 1,200 buah rumah baharu secara tersusun untuk memindahkan mereka.

Bagi seorang lagi penduduk, Yusuf Muhamad, 35, pula, dia cuma meletakkan harapan kepada tindakan yang diambil oleh wakil mereka kerana tidak tahu hendak berbuat apa-apa.

“Kalau nak keluar, kami sendiri tak tahu hendak ke mana. Kami berharap ada penyelesaian terbaik,’ ujarnya.

Tiada pampasan untuk penduduk

Kerajaan tidak akan memberikan sebarang bentuk pampasan kepada penduduk yang menerima notis pengoso­ngan atau rumah mereka yang telah dirobohkan di kawasan penempatan Bukit Malut, di sini.
Menurut Ketua Penolong Pegawai Daerah Langkawi (Pembangunan), Zulkifli Abdullah, pihaknya tidak mendapat sebarang arahan daripada kerajaan negeri untuk bertindak sedemikian.

“Terpulang kepada Permodalan Kedah Berhad (PKB) untuk mengambil tindakan kerana tanah itu adalah milik mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, semalam.

Zulkifli berkata, sebelum tanah itu diserahkan kepada PKB, ia berada di bawah Jabatan Perhutanan sebagai tanah rizab hutan simpan.

Salah sebuah rumah penduduk yang menjadi sebahagian daripada 41 buah rumah yang dibina di atas tanah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) ditanda ‘X” dengan cat merah menandakan bakal dirobohkan di Bukit Malut, Langkawi. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Sebab itu ada penduduk yang memohon tanah pada tahun 1992 tidak berjaya dan menerima notis pengosongan selepas itu kerana tanah itu berada di bawah Jabatan Perhutanan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Zulkifli memberitahu, mana-mana penduduk di situ serta penduduk Langkawi yang layak boleh memohon rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) secara dalam talian.

Jelasnya, permohonan bagi rumah tersebut dibuka sejak 7 Julai lalu hingga 8 Ogos ini selain Pejabat Daerah akan me­ngadakan program hari terbuka bagi membantu mana-mana penduduk yang memerlukan bantuan untuk mengisi permohonan tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya