Selepas haji, ke mana arah kita?

Selepas haji, ke mana arah kita?

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bersama petugas media Malaysia yang membuat liputan operasi haji musim 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 31,600 jemaah Malaysia mula meninggalkan Mekah secara berperingkat untuk pulang ke tanah air sekali gus menandakan ruangan Catatan Haramain ini berakhir bermula hari ini.

Namun di sebalik kepula­ngan itu, bermulalah satu fasa baharu buat setiap jemaah untuk membawa amanah besar dalam menjaga akhlak, ibadah dan hubungan sesama manusia selepas lebih 44 hari berada di tanah suci.

Justeru, bagi mengakhiri rua­ngan liputan Utusan Malaysia sepanjang musim haji kali ini, penulis ingin membawa pembaca menelusuri satu persoalan yang lebih besar daripada kejayaan operasi pengurusan haji semata-mata, iaitu mengenai hala tuju jemaah selepas pulang dari tanah suci.

Hal ini kerana setiap rukun dan wajib haji mempunyai mesej tersurat dan tersirat dalam mendidik jemaah menjadi insan lebih beriman selepas berjaya melengkapkan rukun Islam kelima.

Bermula daripada menjaga pantang larang ihram, wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina, melontar jamrah, bercukur serta tawaf dan saie, setiap ibadah itu mempunyai hikmah dan objektif tersendiri.

Menjaga pantang larang ihram misalnya bukan sekadar memakai dua helai kain putih tanpa jahitan, tetapi menjadi simbol penyucian jiwa dan kerendahan diri di hadapan Allah.

Dalam keadaan serba sederhana itu, jemaah diajar mengetepikan ego dan sifat angkuh di samping memupuk nilai integriti kerana kepatuhan tersebut berlaku tanpa pengawasan manusia, sebaliknya lahir daripada rasa taat kepada Allah.

Namun persoalannya, sejauh mana segala mesej dan tarbiah sepanjang manasik haji berjaya dibawa pulang ke dalam kehidupan seharian selepas kembali ke tanah air.

Alangkah baiknya jika setiap jemaah haji Malaysia mampu mempraktikkan nilai dipelajari di tanah suci seperti disiplin, amanah, kesabaran, menjaga kebersihan, menghormati orang lain dan mendahulukan kepen­tingan bersama berbanding diri sendiri.

Jika semangat itu terus dipelihara, ibadah haji bukan sahaja melahirkan individu lebih baik, malah mampu membentuk masyarakat lebih berintegriti dan jauh daripada budaya rasuah serta mementingkan diri.

Dalam konteks itu, cabaran tersebut bukan hanya dipikul jemaah, malah turut melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk melihat semula silibus kursus haji agar ia tidak sekadar tertumpu kepada cara melengkapkan rukun dan syarat ibadah, sebaliknya memberi penekanan terhadap pembentukan nilai serta akhlak selepas pulang dari tanah suci.

Ini kerana setiap perjalanan haji mengandungi mesej dan tarbiah tersendiri. Jika segala nilai serta pengajaran itu benar-benar tersemat dalam diri 31,600 jemaah haji Malaysia tahun ini, insya-Allah ia mampu melahirkan masyarakat yang lebih berdisiplin, berintegriti dan saling menghormati antara satu sama lain.

Bayangkan jika semangat sabar ketika berdepan jutaan manusia di Arafah, Mina dan Masjidil Haram diterjemahkan dalam kehidupan harian, sudah pasti banyak perbalahan, sikap pentingkan diri dan budaya tidak beretika dapat dikurangkan.

Malah, Malaysia bukan sahaja akan melahirkan lebih ramai individu bergelar haji dan hajah, tetapi masyarakat yang benar-benar memahami makna pengorbanan, kesabaran dan tanggungjawab sesama insan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×