JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat negara, Mohd. Aniq Kasdan atas sumbangan pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 semalam.
Sultan Ibrahim bertitah, pencapaian anak kelahiran Segamat itu menjadi kebanggaan seluruh rakyat negeri ini.
“Anda menjadi kebanggaan kami semua. Semoga terus berusaha mencapai kejayaan,” titah baginda dalam laman sosial Facebook, hari ini.
Semalam, Mohd. Aniq, 20, merangkul pingat emas dalam acara angkat berat kategori 55 kilogram (kg) lelaki dengan jumlah angkatan 249kg yang juga merupakan rekod baharu Sukan Komanwel.
Pencapaian itu amat membanggakan buat atlet angkat berat Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang pertama kali bertanding pada pentas Sukan Komanwel.
Mohd. Aniq menamatkan saingan snatch dengan angkatan seberat 107kg dalam percubaan pertamanya sebelum memecahkan rekod kejohanan dalam saingan clean and jerk dengan angkatan 142kg.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah turut menghambur pujian kepada atlet muda itu.
Menurut Mohd. Hairi, kejayaan menuai emas dalam sukan Komenwel itu adalah kebangkitan buat Mohd. Aniq yang menyumbang pingat gangsa pada Sukan SEA Hanoi sebelum ini.
“Atlet Sukma Johor ini berjaya mencabar diri dan buktikan dengan menghadiahkan kejayaan cukup membanggakan kita semua.
“Jutaan terima kasih dan syabas diucapkan kepada Mohd. Aniq serta semua Kontinjen Angkat Berat Malaysia kerana mengharumkan nama negara dan Johor khususnya pada persada antarabangsa. Teruskan berjuang dan jangan berhenti di sini!,” katanya. – UTUSAN ONLINE