Sabah bangkit benam PJ City

Sabah bangkit benam PJ City

Pemain-pemain Sabah meraikan jaringan kemenagan pada perlawanan Liga Super berdepan PJ City, di Stadium MBPJ, di sini hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sabah terus mengukuhkan kedudukan ditangga kedua Liga Super apabila bangkit melakar kemenangan 2-1 ke atas Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Penyerang negara, Darren Lock membuka tirai jaringan pada minit ke-34 apabila bijak menanduk bola sepakan sudut yang diambil V.Ruventhiran.

Tersentak dengan jaringan itu, Sabah cuba mencari gol penyamaan namun gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga berakhir babak pertama.

Memasuki babak kedua, Sabah hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan penyerang import dari Jepun, Taiki Kagayama.

Jaringan itu nyata menyuntik semangat skuad The Rhinos untuk terus menekan pertahanan tuan rumah ketika PJ City dilihat masih tercari-cari rentak permainan ‘garang’ yang ditunjukkan mereka pada babak pertama.

Amri Yahyah berpeluang meletakkan Sabah mendahului pada minit ke-56 namun rembatan volinya berjaya dinafikan penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Skuad kendalian P.Maniam tidak hanya mendiamkan diri apabila turut melancar dua percubaan berbahaya menerusi percubaan S.Kumaahran dan R.Kogileswaran tetapi gagal menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.

Percaturan Datuk Ong Kim Swee memasukan Irfan Fazail nyata membuahkan hasil apabila pemain tengah itu berjaya mencetak gol pada minit ke-75 selepas bijak menyambar bola hantaran lintang rakan sepasukannya, Maxsius Musa.

Lima minit terakhir perlawanan, tuan rumah melancarkan serangan bertali arus ke gawang pelawat yang dilihat lebih banyak bertahan namun Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan Apek memperagakan aksi cemerlang untuk memastikan Sabah membawa pulang tiga mata berharga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya