GUA MUSANG: Perbalahan dalam kalangan pemimpin UMNO ketika ini akan melemahkan parti terbesar orang Melayu itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li berkata, jika situasi tersebut terus berlaku dibimbangi mengundang perpecahan lebih ‘dahsyat’ dalam parti itu.
Katanya, pemimpin UMNO perlu bertenang dan tidak saling menyerang antara satu sama lain dalam sesuatu isu.
“Kita sepatutnya bersatu dengan kuat menghadapi musuh menjelang PRU15. Kalau kita terus berkelahi sesama sendiri atau berlainan pendapat kita menjadi lemah,” katanya pemberita selepas diminta mengulas mengenai isu dalaman pemimpin parti UMNO.
Ahli Parlimen Gua Musang itu memberitahu, situasi tersebut akan digunakan oleh musuh untuk meracuni fikiran pengikut masing-masing.
Beliau berkata, ia sekali gus memberi impak buruk kepada UMNO pada masa depan.
Terdahulu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bercita-cita untuk memiliki jawatan tersebut.
Katanya, taktik mengumpan Ismail Sabri dengan pencalonan poster boy atau bakal Perdana Menteri UMNO-BN pada PRU-15 didakwa Tajuddin sebagai sebahagian usaha Ahmad Zahid untuk menjadi Perdana Menteri segera.
Pada masa sama, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak mendakwa, terdapat gerakan diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meminta pengunduran Ahmad Zahid sebagai Presiden parti itu. – UTUSAN