GAZA: Israel membunuh sekurang-kurangnya 706 ahli keluarga wartawan Palestin sejak bermulanyagenosid di Gaza pada Oktober 2023, menurut Kesatuan Wartawan Palestin.
Jawatankuasa Kebebasan kesatuan itu dalam satu laporan yang dikeluarkan pada Sabtu menyatakan Israel secara sistematik menyasarkan keluarga wartawan sebagai sebahagian daripada apa yang digambarkan sebagai perang untuk menyekat laporan Palestin.
Laporan tersebut menyebut serangan berkenaan merupakan satu strategi yang disengajakan, bukannya kematian yang berlaku secara kebetulan akibat peperangan.
Keganasan Israel terhadap wartawan, menurut kesatuan itu, telah berevolusi ke tahap yang lebih berbahaya dan kejam, yang dicirikan oleh penyasaran keluarga dan saudara-mara wartawan, dalam usaha jelas menjadikan kerja kewartawanan sebagai beban kewujudan yang ditanggung oleh anak lelaki, isteri, bapa dan ibu.
Muhammad al-Lahham, ketua Jawatankuasa Kebebasan berkata, corak serangan dari 2023 hingga 2025 mendedahkan niat Israel untuk memusnahkan pelaporan bebas di Gaza.
Menyasarkan keluarga wartawan katanya, menunjukkan bahawa pendudukan Israel sedang melancarkan perang menyeluruh terhadap kebenaran, tanpa membezakan antara kamera dan kanak-kanak, atau antara pena dan rumah.
“Darah keluarga wartawan akan kekal menjadi saksi hidup kepada jenayah cubaan membungkam suara Palestin,” kata al-Lahham.
Jawatankuasa itu memaklumkan tentera Israel membunuh 436 saudara-mara wartawan pada 2023, 203 pada 2024 dan sekurang-kurangnya 67 orang tahun ini.
Katanya, kematian terus berlaku walaupun banyak keluarga dipaksa berpindah dan mendapatkan perlindungan di khemah serta kem sementara.
Kesatuan itu turut memetik satu kes baru-baru ini berhampiran Khan Younis, apabila mayat wartawan Hiba al-Abadla, ibunya dan kira-kira 15 ahli keluarga al-Astal ditemui hampir dua tahun selepas pesawat Israel mengebom rumah mereka di barat bandar tersebut.
Menurut dapatan laporan, serangan Israel berulang kali menyasarkan rumah wartawan, lokasi pemindahan serta kawasan yang diketahui menempatkan petugas media dan keluarga mereka.










