PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangguhkan proses mengambil keterangan terhadap pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dikaitkan dengan kes rasuah melibatkan projek perolehan di Kementerian Pertahanan.
Satu sumber berkata, suspek dijadual memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya semalam namun suspek dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Setakat ini masih menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.
Kata sumber, siasatan SPRM tetap diteruskan dengan memanggil saksi-saksi utama, termasuk pemilik syarikat yang dipercayai memperoleh projek TDM.
“Setakat ini, SPRM telah merakam keterangan lima pemilik syarikat dengan jumlah keseluruhan saksi yang dipanggil adalah 10 orang.
“Selain itu, SPRM sedang menyiasat kira-kira 40 buah syarikat yang disyaki terbabit dalam pemberian rasuah dengan siasatan dijalankan secara berperingkat,” jelasnya.
Sumber menambah, siasatan dijalankan SPRM turut mengesan aliran wang yang disyaki masuk ke akaun pegawai kanan itu.
Jelas sumber, operasi penggeledahan dilakukan SPRM di pejabat Kementerian Pertahanan dan kediaman rasmi pegawai terlibat pukul 5 petang hingga 12 tengah malam pada 27 Disember lalu.
“Penggeledahan itu tidak menemukan wang tunai namun beberapa barangan mewah termasuk jam tangan dan beg tangan telah disita kerana dipercayai berkaitan siasatan. SPRM dijangka memperluaskan siasatan meliputi aliran kewangan, perolehan projek serta kaitan individu dan syarikat terbabit, selaras peruntukan Akta SPRM 2009,”katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, pegawai SPRM turut menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan.
Enam akaun bank milik suspek dan ahli keluarganya telah disita dalam siasatan ini. – UTUSAN










