Jaringan saat akhir Forestieri hampakan Sabah FC

Jaringan saat akhir Forestieri hampakan Sabah FC

FERNANDO Forestieri meraikan jaringan kemenangan JDT di Stadium Likas.-Gambar Ihsan FB Johor Southern Tigers
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Hasrat Sabah FC untuk melakar kejutan ke atas pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak kesampaian apabila tumpas 1-2 di Stadium Likas sebentar tadi.

Dalam aksi cukup sengit itu, gol kemenangan skuad Harimau Selatan hadir pada minit-minit terakhir masa tambahan pada separuh masa kedua hasil sepakan percuma Fernando Forestieri.

Bagaimanapun, Sabah FC terlebih dahulu berada dihadapan pada minit ke-19 apabila rembatan kencang Park Tae Su berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Jaringan Tae Su itu mengamatkan Stadium Likas yang dipenuhi kira-kira 24,000 penyokong setia Sabah FC sekali gus memberi harapan untuk anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk mencipta kejutan.

Namun, JDT tidak gentar apabila kembali menyusun strategi dan usaha mereka berhasil apabila ayam tambatannya, Forestieri berjaya menyempurnakan hantaran Arif Aiman untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-26.

Pada aksi babak kedua, JDT melakukan serangan bertali arus ke gawang Sabah FC namun, gagal menembusi benteng pertahanan yang diketuai oleh pemain import dari Brazil, Jackson De Souza.

Ketika kedua-dua pasukan hampir pasti berkongsi mata, Forestieri mendiamkan suasana di Stadium Likas apabila sepakan percumanya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada masa kecederaan untuk memastikan JDT menang dengan keputusan 2-1.

Dengan kemenangan itu, JDT terus memimpin carta Liga Super dengan mengumpul keseluruhan 26 mata dengan 10 perlawanan, sementara Sabah kekal di tangga kedua dengan 22 mata.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN