Tasik air hitam

Tasik Air Hitam disita untuk siasatan terperinci

HEE Loy Sian meninjau keadaan Tasik Air Hitam yang menjadi lokasi pembuangan sampah haram sehingga menyebabkan pelepasan efluen berwarna hitam ke Sungai Perimbun dan berisiko mengakibatkan henti tugas LRA Cheras, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kawasan Tasik Air Hitam, Cheras, yang menjadi lokasi pembuangan sampah haram sehingga mengakibatkan ban kolam itu pecah dan hakisan tanah disita pihak berkuasa bagi siasatan terperinci.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, satu operasi bersepadu dijalankan pada 31 Mei lalu selepas menerima maklumat mengenai aliran efluen kehitaman di tasik berkenaan.

Katanya, operasi pukul 11.50 pagi itu disertai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Langat.   

“Siasatan mendapati tasik itu dipenuhi sampah sarap dan efluen kehitaman selain lokasinya berdekatan Sungai Perimbun dan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras yang berpotensi menyebabkan henti tugas sekiranya kandungan Ammoniakal Nitrogen melebihi had piawai ditetapkan terutama ketika air tasik melimpah akibat hujan.

“MPKJ turut menyita kawasan tersebut dan Notis Pemberhentian Aktiviti Kerja akan diberikan kepada pemilik tanah selepas maklumat status tanah diterima. Selain itu, PDT Hulu Langat akan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik tanah bagi arahan pemulihan segera  tanah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Jelas Loy Sian, LUAS akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta dan penjara minimum tiga tahun.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) sudah mengambil beberapa sampel di lokasi berbeza iaitu sekitar kawasan tasik dan anak Sungai Langat.

“Ia mencatatkan bacaan sifar ton dan anggaran kandungan Ammoniakal Nitrogen adalah 0.4 miligram di Sungai Langat dan siasatan LUAS mendapati bacaan bau di sungai berdekatan juga sifar ton dan tiada gangguan kepada operasi Loji LRA Cheras dilaporkan,” jelasnya.

Katanya lagi, kerja membaik pulih sudah dilaksanakan dengan mengukuhkan ban yang pecah bagi mengelak aliran efluen mengalir ke alur berhampiran.  

Justeru, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air.

“Tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pencemaran sumber air negeri boleh melaporkannya kepada LUAS untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN