PETALING JAYA: Penyerang negara, Syafiq Ahmad akan membuktikan dia layak diturunkan sekiranya diberikan peluang membarisi kesebelasan utama skuad Harimau Malaya menentang Bangladesh malam ini.
Bagaimanapun, Syariq yang diturunkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan terdahulu menentang Turkmenistan dan Bahrain, percaya dengan segala perancangan jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.
“Sebagai pemain, saya nak turun bermain dan jadi penyerang. Untuk malam ini, jika diberikan peluang, saya akan tunjukkan saya layak diberikan minit permainan namun, siapa sahaja menjadi pilihan wajib berikan terbaik untuk dapatkan kemenangan.
“Ini adalah perlawanan hidup dan mati, kita mesti menang. Untuk kumpulan (kelayakan Piala Asia 2023) lain perlu ambil tahu juga tetapi, perlu fokus perlawanan kita sendiri dan jika menang Insyaallah kita akan layak,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Mengulas sama ada pemain ketika ini berada dalam tekanan untuk berdepan Bangladesh susulan kekalahan 1-2 kepada Bahrain, Syafiq berkata, keadaan semua pemain ketika ini dalam keadaan baik dan bersedia untuk memberikan yang terbaik.
“Setiap perlawanan ada tekanan yang tersendiri, mungkin agak kecewa terlepas untuk kutip mata dalam perlawanan sebelum ini. Setiap perlawanan ada tekanan, apa yang penting pemain kena pandai hadapi tekanan dan kita ada kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Kita sebelum ini terlepas untuk kutip tiga mata namun kita masih berpeluang dan ini adalah peluang terbaik untuk layak ke Piala Asia. Paling penting semua pemain kena ikut taktikal jurulatih, lihat ke hadapan dan ini menang dalam perlawanan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai video viral yang memaparkan seorang kanak-kanak menangis selepas Malaysia tewas kepada Bahrain, Syafiq berkata, semua terkesan dengan kekalahan itu.
“Semua kecewa termasuk pemain sendiri dan barisan pemain akan berikan yang terbaik untuk hadiahkan kemenangan bukan sahaja kepada dia tetapi kepada keluarga dan seluruh rakyat Malaysia ketika menentang Bangladesh,” jelasnya.