STAR Jengka RM92 juta, jadi projek gajah putih? - Utusan Malaysia

STAR Jengka RM92 juta, jadi projek gajah putih?

STADIUM Tun Abdul Razak (STAR) Jengka bernilai RM92 juta yang siap dibina pada 2016 dahulunya merupakan kebanggaan seluruh warga Felda, kini ia seolah-olah menjadi projek gajah putih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Stadium Tun Abdul Razak (STAR) Jengka bernilai RM92 juta yang siap dibina pada 2016 dengan ‘mengorbankan padang awam’ merupakan monumen sejarah yang dahulunya menjadi kebanggaan buat warga Felda.

STAR dibina hasil desakan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) yang mahukan sebuah stadium bertaraf antarabangsa sebagai lokasi latihan pasukan bola sepak Felda United FC pada ketika itu.

Pengumuman peruntukan membina STAR Jengka dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2011 dan ia menjadi kenyataan pada sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2016.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, selepas siap dibina, STAR Jengka berada pada tahap kegemilangan selari dengan kemuncak pasukan Bola Sepak Felda United dalam Liga Malaysia.

“Namun apabila Felda United dibubarkan atas faktor kewangan dan pengurusan STAR Jengka yang menjadi venue utama pasukan bola sepak Felda itu turut terkesan kerana tiada lagi sorakan gempita peminat tegar di stadium itu.

“Kemudahan bertaraf antarabangsa yang sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga Felda adalah satu kerugian. Satu inisiatif perlu dicari supaya STAR Jengka diaktifkan kembali.

“Salah satu cara paling sesuai dengan mewujudkan semula pasukan Felda United menyertai Liga Malaysia. Itu Felda yang harus fikirkan,” katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, hangat diperkatakan kedaifan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam yang dahulunya diiktiraf kualiti terbaik di peringkat antarabangsa.

Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berpendapat, Felda perlu segera mencari jalan dan berusaha menjadikan STAR tumpuan acara sukan terutama bola sepak, sukan nombor satu negara.

Tegasnya, amat malang dan mendukacitakan buat warga Felda seluruh negara yang menyaksikan stadium tersebut hanya ‘indah di depan mata’ tetapi sunyi daripada acara bola sepak sebaik sahaja pasukan bola Felda United hilang dari radar Liga Malaysia.

“AMBFM memandang serius perkara ini sekali gus mencadangkan penyelesaian segera perlu dibuat. Jika Felda sudah ada penyelesaiannya sila umum supaya ianya tidak menjadi isu,” katanya.

Sementara itu, seorang bekas pengurusan STAR Jengka, Ahmad Saari Abdul Samat, 50, mengakui sejak pasukan Felda United dibubarkan, stadium yang termoden di Asia ini tidak lagi menjadi venue pertandingan Liga Malaysia.

Bagaimanapun ujarnya, STAR Jengka dibuka untuk sewaan permainan bola sepak kepada pihak berkemampuan tempatan dan luar dengan kadar yang ditetapkan pengurusan Felda.

Tambah beliau, STAR Jengka sentiasa penuh pada setiap hujung minggu disewa oleh peminat bola sepak tempatan malah dari seluruh daerah termasuk dari negeri Selangor dan Terengganu.

Ujarnya, kadar sewaan padang kategori A waktu pagi RM500, petang RM700, malam RM1,500 dan tengah malam RM1,900.

Menurutnya, penyewa boleh menempah kategori A, B, C dan G yang membabitkan padang, bilik persalinan, fasiliti tempat duduk utama, papan skor dan juga peralatan hebahan (sistem PA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya