PETALING JAYA: Kejayaan skuad hoki kebangsaan meraih naib johan dalam Piala Asia 2022 kelmarin merupakan satu kebanggaan buat negara dan perkara itu diakui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Kita semua berbangga, walaupun kecewa dengan keputusan 2-1 dalam suku akhir perlawanan tetapi saya lihat pencapaian skuad Malaysia amat baik.
“Pemain kita juga di umur yang masih muda, saya yakin pasukan ini boleh pergi lebih jauh, kita doakan mereka berlatih bersungguh-sungguh dan beroleh kejayaan dalam Piala Dunia nanti,” katanya.
Skuad kendalian Arul Selvaraj tewas kepada Korea Selatan dalam perlawanan akhir penentuan juara Hoki Piala Asia 2022, dengan Malaysia hanya berjaya menjaringkan gol tunggal pada minit ke-25 menerusi jaringan padang Mohamad Syafiq Syed Cholan yang berjaya menyamakan kedudukan setelah Korea Selatan mendahului perlawanan pada minit ke-17 menerusi pukulan deras Jung Manjae.
Korea bagaimanapun sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-52 sehingga wisel penamat berbunyi sekali gus menjadikan mereka pemenang peringkat Asia untuk kali kelima.
Sebelum ini Malaysia mengikat Korea Selatan dengan keputusan 3-3, sebelum bertemu India dengan keputusan yang turut berakhir seri, 2-2, namun berjaya membuat kejutan dengan menumpaskan Jepun, 4-0 dalam perlawanan ketiga.
Meskipun hanya meraih tempat kedua, pujian wajar diberikan kepada Speedy Tigers kerana telah berjaya mengesahkan slot ke Hoki Piala Dunia selepas memperoleh tempat dalam pusingan Super 4, iaitu format baharu yang diletakkan dalam Hoki Piala Asia sebagai syarat pasukan terbaik untuk mara ke kejohanan peringkat dunia itu.