Safiq seru semangat penyokong ke-12 - Utusan Malaysia

Safiq seru semangat penyokong ke-12

SAFIQ Rahim bersama rakan sepasukannya meraikan jaringan kedua ketika menundukkan Hong Kong 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjuangan Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 bukan hanya perlu dijayakan barisan pemain sahaja diatas padang tetapi juga memerlukan sokongan padu pemain ke-12.

Permintaan ini disuarakan bekas ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim yang menggesa semua pihak berganding bahu untuk merealisasikan impian layak ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan.

Meledak satu gol membantu kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Hong Kong semalam, Safiq percaya sokongan padu pemain ke-12 sememangnya diperlukan untuk memberikan semangat buat barisan pemain.

Ultras Malaya sentiasa memberi kegerunan kepada pasukan lawan setiap kali mereka turun berdepan skuad Harimau Malaya.

“Ini sebahagian daripada persiapan kita dan kemenangan ini bagus untuk meningkatkan motivasi pasukan. Ada lagi kelemahan yang jurulatih akan baiki dan saya rasa kita masih ada masa untuk lakukannya sebelum aksi pertama nanti.

“Semua pemain dahagakan lagi kejayaan dan ini adalah kita punya peluang untuk cipta sejarah. Jangan lepaskan peluang ini kerana kita akan bermain di tempat sendiri dan di depan penyokong sendiri malah saya rasa peluang ini tidak akan datang lagi.

“Saya sebagai pemain harus lakukan tanggung jawab untuk capai kejayaan membawa pasukan negara layak. Harap semua peminat dapat doakan kerana pemain ke 12 amat penting buat pasukan, sokonglah walau dimana saja pasukan berada,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan, kelmarin.

Mengulas gol kedua hasil jaringannya berpunca sepakan percuma dari luar kotak penalti, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ini menyifatkan ia adalah hasil kerja berpasukan.

“Rezeki saya. Terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak beri sokongan. Siapa saja yang diberi tanggungjawab dalam aksi kelayakkan nanti, semuanya adalah demi kebaikan pasukan,” katanya.

Harimau Malaya dibawah kendalian Kim Pan Gon telah meraih dua kemenangan pada aksi persahabatan menentang Brunei, 4-0 dan Hong Kong (2-0) yang dianggap aksi pemanas badan menjelang aksi sebenar Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada Rabu ini, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN