Penuntut USM pertaruh Roket Hebat di Spaceport America Cup 2022

Penuntut USM pertaruh Roket Hebat di Spaceport America Cup 2022

PASUKAN WAU Roketry USM bersama Roket Hebat yang akan dipertaruhkan dalam Spaceport America Cup 2022 di New Mexico, Amerika Syarikat pada 20 hingga 25 Jun ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Sepasukan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) mempertaruhkan ciptaan Roket Hebat bernilai RM35,000 dalam Pertandingan Spaceport America (SA) Cup 2022 di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) yang bakal berlangsung pada 20 hingga 25 Jun ini.

Ketua Pasukan WAU Roketry USM, A. Vanmitha, 22, berkata, dia bersama 10 lagi ahli pasukan serta Penasihat Pasukan, Dr. Norilmi Amilia Ismail akan berangkat ke Amerika Syarikat malam ini untuk menyertai pertandingan itu.

“Misi kami adalah untuk menjuarai pertandingan ini yang juga merupakan kali pertama penyertaan Malaysia sejak 15 tahun diadakan.

“Malah, kami juga bersedia 100 peratus untuk menjayakan misi ini kerana membawa nama Malaysia dan USM ke persada dunia,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Roket Hebat dan Gimik Penyerahan Bendera USM dan Jalur Gemilang di Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal, di sini hari ini.

KEBANGGAAN

Katanya, dengan penyertaan penuntut Malaysia ke pertandingan antarabangsa seperti itu sedikit sebanyak dapat membuka peluang kepada rakyat tempatan khususnya pelajar Malaysia menerokai ilmu aeroangkasa dengan lebih mendalam seterusnya mengeluarkan roket buatan tempatan yang boleh menjadi kebanggaan negara.

Malah katanya, mereka juga berharap dapat menormalisasikan pelancaran roket di Malaysia dengan tujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada rakyat tentang agenda angkasa.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Prof. Dr. Nor Azazi Zakaria berkata, penyertaan pasukan WAU Roketry USM dalam pertandingan tersebut akan memberi pendedahan kepada industri teknologi angkasa yang mana mereka berpeluang bertemu dengan syarikat utama dalam bidang angkasa di New Mexico kelak.

Roket Hebat adalah merupakan sebuah roket berkuasa tinggi buatan pelajar USM yang pertama seumpamanya di Malaysia dan akan membawa sebuah nanosatelit seberat empat kilogram dengan misi mengukur keadaan persekitaran dan menjalankan transmisi data ke stesen bumi. 

Berat keseluruhan roket bersama beban adalah 30 kilogram dan berketinggian 3.3 meter.

Pada April lalu, Utusan Malaysia melaporkan sepasukan penuntut Kejuruteraan Aeroangkasa dan Kejuruteraan Mekanikal  dari Kampus Kejuruteraan USM yang membawa misi dan harapan besar negara menerusi pertandingan kejuruteraan roket terbesar dunia Spaceport America Cup 2022 dengan mengetengahkan ciptaan Roket Hebat di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) pada bulan  ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya