Pemain percaya masih ada peluang ke Piala Asia - Utusan Malaysia

Pemain percaya masih ada peluang ke Piala Asia

Khuzaimi Piee percaya Malaysia masih berpeluang dan mampu mara ke Piala Asia 2023. UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertahanan kental Harimau Malaya, Khuzaimi Piee percaya Malaysia masih berpeluang dan mampu mara ke Piala Asia 2023 walaupun tewas kepada Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 semalam.

Khuzaimi berkata, bagi merealisasikan impian berkenaan, para pemain perlu memberikan fokus dan tidak boleh melakukan kesilapan mudah ketika berdepan Bangladesh esok selain turut berharap skuad negra mampu menang dengan jumlah jaringan yang besar.

“Kita masih berpeluang jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023. Saya harap penyokong dapat hadir beramai-ramai ke stadium esok untuk memberikan sokongan kepada pasukan.

“Sekarang kita kena fokus untuk perlawanan seterusnya, lupakan apa yang berlaku dalam perlawanan menentang Bahrain. Kita mahu bangkang pun tidak boleh, keputusan sudah dibuat dan sudah habis permainan pun. Jadi fokus ke depan,” katanya.

Mengulas mengenai kekalahan 1-2 kepada Bahrain, Khuzaimi berkata, dia tidak menyalahkan keadaan padang dan menganggap situasi berkenaan berlaku di luar jangkaan selain mengakui terdapat kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan barisan pemain negara.

“Ada beberapa (kesilapan) yang kami lakukan tadi contohnya lambat tutup ruang yang membuatkan Bahrain berjaya jaringkan gol. Sekarang kami perlu fokus untuk perlawanan seterusnya dan mengharapkan Turkmenistan dapat mencatatkan kemenangan ke atas Bahrain,” katanya.

Sementara itu, penyerang negara Muhammad Syafiq Ahmad berkata, sebagai pemain profesional, kekalahan itu perlu segera dilupakan kerana fokus kini adalah memburu kemenangan pada perlawanan terakhir esok.

“Walaupun mendahului, kita belum tentu boleh menang selagi wisel penamat belum dibunyikan, itulah bola sepak, yang paling penting untuk perlawanan terakhir kita kena menang, tiada alasan.

“Berdepan Bangladesh, sesiapa pun yang main saya tak peduli… yang penting kita menang untuk layak ke Piala Asia 2023,” katanya yang mahu rakan-rakan sepasukan mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan terakhir esok.

Dalam pada itu, Matthew Davies berkata, perlawanan terakhir esok ibarat perjuangan hidup dan mati Harimau Malaya dan dia yakin semua pemain akan memberikan segala-galanya dalam aksi 90 minit untuk merealisasikan impian ke Piala Asia 2023.

“Kami perlu memenangi perlawanan akhir mungkin dengan sedikit kelebihan untuk memastikan kami selamat. Ia adalah aksi hidup atau mati untuk perlawanan terakhir dan kami akan memberikan segala-galanya untuk cuba merealisasikannya,” kata Davies.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN