Pas lebih rela hilang Bersatu daripada hilang Hamzah - Puad Zarkashi

Pas lebih rela hilang Bersatu daripada hilang Hamzah – Puad Zarkashi

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas dilihat lebih rela kehilangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), daripada kehilangan bekas Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan 18 ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia boleh dilihat selepas kelewatan pelantikan Ketua Pembangkang yang ditangguhkan sehingga Jun depan.

Malah katanya, Pas dan Hamzah mempunyai perancangan lain untuk Perikatan Nasional (PN) termasuk berkemungkinan menyingkir Bersatu daripada gabungan itu.

“Pas dan Hamzah ada perancangan lain. Sebab itu tangguh ke bulan Jun (pelantikan Ketua Pembangkang). Hamzah perlukan parti baharu sebagai tempat berteduh dan senjata untuk ‘tawar menawar’ 18 ahli Parlimen bersamanya.

“Ia mungkin digunakan untuk menyertai PN. Bersatu akan bantah. Pas akan cari jalan tendang Bersatu daripada PN. Pas lebih rela hilang Bersatu dari kehilangan Hamzah dan ‘Geng 18’,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, pelantikan Ke­tua Pembangkang masih belum diputuskan dan akan dibincangkan secara menyeluruh dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Katanya, tempoh untuk membuat keputusan masih panjang memandangkan sidang Parlimen berlangsung Jun ini.

Dalam pada itu, Mohd.Puad berkata, keluhan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan kelewatan pelantikan ketua pembangkang mencerminkan kedudukan kuasa yang didakwa tidak seimbang.

“Muhyiddin mengeluh, kenapa lambat melantik Ketua Pembangkang. Bulan Jun lambat sangat. Keluhan itu jadi bukti Pengerusi PN lebih berkuasa daripada Pengerusi Majlis Presiden.

“Muhyiddin macam pengemis. Dihina bukan sahaja oleh Pas tetapi oleh Hamzah. Sekaligus menghina parti Bersatu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN