Malaysia sasar kedudukan 20 terbaik Indeks Inovasi Global

Malaysia sasar kedudukan 20 terbaik Indeks Inovasi Global

ZAMBRY Abd. Kadir menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Public - Private Research Network (PPRN) 2026 di Whyndham Grand Bangsar. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia melibatkan Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2030, bagi memperkukuh ekosistem ekonomi berasaskan pengetahuan dan menjadikan penyelidikan sebagai pemangkin pertumbuhan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sasaran itu seiring dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menekankan inovasi, pengkomersialan hasil penyelidikan dan kerjasama strategik antara ahli akademik dan industri.

Katanya, usaha memperkukuh kedudukan inovasi negara bukan sahaja tertumpu kepada penyelidikan asas di universiti tetapi juga penerapan hasil inovasi melalui kerjasama sektor awam dan swasta.

“Malaysia kini berada di tangga ke-34 daripada 139 ekonomi dunia dalam GII 2025. Dengan perancangan rapi dan kerjasama menyeluruh, tidak mustahil kita mampu menembusi kedudukan 20 terbaik menjelang 2030.

“Setiap hasil penyelidikan mesti memberi kesan nyata kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya ketika merasmikan Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 di sini hari ini.

Persidangan PPRN 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) menghimpunkan lebih 500 peserta dari universiti awam, institusi swasta, politeknik, kolej komuniti dan sektor industri bagi memperkukuh sinergi penyelidikan serta inovasi negara.

Zambry berkata, kementerian turut menyasarkan peningkatan jumlah paten tempatan daripada 968 kepada 2,000 menjelang 2030 yang menumpukan pengkomersialan hasil penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN