PETALING JAYA: Masih tiada pertemuan di antara Kabinet dan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin selepas pelbagai desakan daripada parti lamanya iaitu parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya jawatan mantan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu diganti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Kanan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Steven Choong Shiau Yoon memaklumkan, dia difahamkan masih tiada penjumpaan diadakan oleh dua pihak berkenaan.
“Apa yang saya tahu, masih tiada perjumpaan di antara Kabinet menteri dan Zuraida,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia mengumumkan pengundurannya daripada Bersatu bagi menyertai PBM.
Susulan daripada pengumuman itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian bahawa kerusi menteri yang dipegang oleh Zuraida adalah kuota parti itu.
Menurut beliau, lantikan Zuraida sebagai ahli jemaah Kabinet sebelum ini juga adalah atas kapasiti parti pimpinannya.
Sementara itu, Steven Choong yang juga Ahli parlimen Tebrau enggan mengulas mengenai kewajaran kerusi menteri itu diberikan kepada Bersatu.
“Saya tidak mahu memberi komen berkenaan ini kerana ia adalah perkara yang melibatkan Zuraida dan kabinet menteri. Saya tak tahu apakah perjanjian semasa Kabinet ditubuhkan sebelum ini,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










