PHNOM PENH: Kerajaan Kemboja mengarahkan penutupan semua pintu sempadan dengan Thailand berkuat kuasa serta-merta susulan pertempuran yang terus memuncak antara kedua-dua negara jiran itu, meskipun terdapat dakwaan mengenai pelaksanaan gencatan senjata.
Kementerian Dalam Negeri Kemboja dalam satu kenyataan memaklumkan, semua pergerakan keluar masuk di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand digantung sehingga satu notis baharu dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Langkah drastik itu diambil selepas laporan mengenai serangan udara oleh tentera Thailand yang didakwa berterusan, termasuk penggunaan jet pejuang F-16 yang menjatuhkan bom terhadap beberapa sasaran di kawasan sempadan pada 13 Disember lalu.
Konflik berkenaan berpunca daripada pertikaian sempadan sepanjang kira-kira 800 kilometer yang telah berlarutan sejak Mei 2025 dan sekian lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu.
Setakat minggu ini, sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran tersebut termasuk empat anggota tentera Thailand, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan korban awam.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini mendakwa, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menafikan dakwaan itu dengan menegaskan tiada persetujuan rasmi dicapai dan operasi ketenteraan akan diteruskan selagi ancaman keselamatan masih wujud.
Pertempuran berterusan itu menyebabkan kira-kira setengah juta penduduk di kedua-dua belah sempadan terpaksa dipindahkan, dengan ramai mendapatkan perlindungan di kem sementara serta kawasan pagoda di wilayah Banteay Meanchey, Kemboja dan Buriram, Thailand. – UTUSAN










