Rombakan kabinet minggu ini?

Rombakan kabinet minggu ini?

Pada 7 Disember lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan telah mempunyai senarai bagi rombakan Kabinet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya lima perubahan kedudukan jemaah menteri da­lam rombakan kabinet yang dijangka berlaku dalam minggu ini.

Sumber terdekat Pejabat Per­dana Menteri berkata, ter­dapat satu nama akan di­gugurkan daripada Kabinet dan diberi peranan lain.

Katanya, pengumuman ter­­sebut dijangka paling lewat Rabu ini, namun ia pasti ber­laku dalam masa terde­kat.

Beliau berkata, terdapat tim­balan menteri akan dilantik sebagai menteri penuh, ma­­nakala beberapa menteri lain dijangka berubah portfolio.

“Kemungkinan ­Timbalan Menteri Pembangunan Wa­ni­­ta Keluarga dan Ma­sya­rakat, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ra­manan masing-ma­sing ke­tika ini Timbalan Men­teri ba­kal naik pangkat sebagai menteri penuh, ma­na­kala, se­kurang-ku­rang­nya dua men­­teri berubah tugas.

“Rombakan ini bagi memperkukuh kerajaan dan me­laksanakan usaha reformasi kerajaan dalam tempoh dua tahun terakhir menjelang Pi­li­han Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sumber itu memberitahu, ba­­gai­manapun kedudukan membabitkan menteri daripada PKR tidak berubah setakat ini.

“Saya tidak tahu perbinca­ngan daripada parti-parti lain pula,” katanya.

Seramai lima orang menteri PKR pada ketika ini, iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, Menteri Komunikasi dan Digital, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Mengulas lanjut, beliau berkata tidak menolak kemungkinan Rabu ini merupakan mesyuarat kabinet terakhir sebelum rombakan berlaku.

Pada ketika ini juga empat portfolio menteri masih kosong susulan beberapa peletakan jawatan dan kekosongan jawatan yang belum diisi.

Antara portfolio terlibat ialah Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelesta­rian Alam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kekosongan tersebut berlaku selepas peletakan jawatan Datuk Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, selain ber­akhirnya tempoh pelantikan beberapa menteri lain, namun dipangku beberapa menteri lain untuk menjalankan tugas bagi kementerian berkenaan.

Pada 7 Disember lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan beliau telah mempunyai senarai bagi rombakan Kabinet yang akan datang namun belum mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, rombakan tersebut sebagai langkah kecil yang bertujuan mengisi kekosongan jawatan sedia ada, bukannya melibatkan perubahan besar dalam barisan Kabinet. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN