PETALING JAYA: Malaysia mengidamkan diundi dalam kumpulan yang sama dengan Vietnam dan juga Bahrain pada aksi Piala Asia 2023 Jun nanti.
Harapan ini disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang percaya skuad bimbingan Kim Pan Gon mampu mengatasi Vietnam dan juga Bahrain.
Jelasnya, prestasi semasa Harimau Malaya ketika ini dilihat mampu menewaskan seteru utama iaitu Vietnam selain membalas kekalahan dengan Bahrain pada aksi peringkat Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023.
“Saya masih belum gembira dengan semua ini (Piala Asia 2023) kerana saya tahu Malaysia boleh atasi Bahrain dan semua pasukan dalam Kumpulan E sebelum ini.
“Kalau boleh nanti (undian) saya nak tunggu dan kalahkan Vietnam, itu salah satu impian saya.Tak tahu macam mana boleh kalah dan saya tahu Malaysia boleh kalahkan Vietnam dan juga Bahrain.
“Tapi kadang-kadang tidak ada rezeki masa itu atau pun kita masih belum bagus,” katanya.
Rekod pertembungan Malaysia menentang Vietnam sememangnya tidak memihak Harimau Malaya selepas hanya meraih enam kemenangan, tiga seri dan 12 kekalahan dari 21 perlawanan setakat ini.
Kali terakhir Harimau Malaya menang ke atas The Golden Dragons ialah pada pentas separuh akhir kedua Piala AFF 2014 dengan keputusan 4-2 di Stadium MyDinh, Hanoi.
Selepas keputusan tersebut Vietnam tidak pernah kalah dalam pertembungan menentang Malaysia dan kali terakhir mereka menang adalah pada saingan Piala AFF 2019 dengan keputusan 1-0.
Berdasarkan kedudukan semasa, Malaysia berada pada tangga ke 154 dunia dan berada dalam pot 4 bersama 5 lagi pasukan lain iaitu India, Thailand, Tajikistan, Hong Kong dan Indonesia.
Jika diperhatikan dari kedudukan pasukan yang berada dalam pot 3, Malaysia perlu mendaki sekitar 50 anak tangga dalam tempoh terdekat sebelum proses undian dijalankan dan perlawanan persahabatan yang dirangka September nanti mampu merubah kedudukan Harimau Malaya.