Lima momentum UMNO, BN cerah menang PRU15

Lima momentum UMNO, BN cerah menang PRU15

AHMAD Maslan memotong kek sempena sambutan Hari Bapa selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama UMNO Cawangan Taman Rambai Jaya Fasa 3, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Barisan Nasional (BN) berada pada landasan yang tepat untuk kembali memerintah negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, lima momentum sejak tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) merupakan petunjuk membuktikan rakyat lebih percaya terhadap BN kembali memerintah berbanding sewaktu tempoh 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, BN mula bangkit selepas PRU14 dengan kemenangan selesa dalam tujuh pilihan raya kecil (PRK) iaitu di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim River.

Menurutnya, kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan UMNO menyumbang 16 kerusi, membuktikan BN terus mendapat tempat dalam kalangan rakyat bukan sahaja di Semenanjung. 

Katanya, ia juga dibuktikan melalui kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila menang 21 daripada 28 kerusi, diikuti PRN Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 76 kerusi dan kejayaan paling bermakna BN kembali menguasai Johor.

“Memang benar dan hakikatnya BN tumbang dalam PRU14 tetapi kita tidak jatuh tersungkur sebaliknya kita mampu bangkit kembali. Lihat lima momentum kebangkitan BN setakat ini dan ia bakal diterjemahkan dalam PRU15 nanti. Rakyat kini sudah kembali yakin dan mahu kita memerintah Malaysia.

“Seluruh jentera UMNO di 191 bahagian pula sudah membuat persiapan untuk menebus kekecewaan pada PRU14. Momentum BN terus melonjak dan hanya menanti bila masa Parlimen hendak dibubarkan,” katanya sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama UMNO Cawangan Taman Rambai Jaya Fasa 3 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, penubuhan cawangan baharu turut membuktikan rakyat masih percaya terhadap parti untuk terus menerajui negara dan sehingga kini UMNO mempunyai sebanyak 22,000 cawangan di seluruh negara dan terus bertambah dari masa ke semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya