KUALA NERUS: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak, mengkritik jentera tengah dan serangan pasukannya yang disifatkan menjadi punca kekalahan 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di tempat lawan, malam semalam.
Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, aksi serba tidak menjadi serta kesilapan diri sendiri memaksa KL City melupakan hasrat mengutip sekurang-kurangnya mencuri satu mata berharga.
Bojan berkata, kegagalan Hadin Azman menyudahkan peluang terbaik menerusi situasi satu lawan satu ketika aksi masih terikat 0-0 turut mendorong kebangkitan skuad Sang Penyu untuk memerangkap pasukannya.
“Pasukan seperti TFC tidak akan memberi anda peluang menjaringkan gol dan jika ada, ianya perlu disudahkan. Itu yang kami gagal lakukan malam ini (semalam) sehingga dihukum pihak lawan.
“Kami berjaya mengawal pergerakan (Kpah) Sherman, (Kipre) Tchetche dan Faisal (Abdul Halim). Namun dua pemain yang tidak disangka pula menghasilkan gol kerana dibiarkan bergerak bebas.
“Jika kami gagal mengawal penguasaan bola dan tidak menyudahkan peluang, ianya bukan salah benteng pertahanan,” tegas Bojan dalam sidang akhar selepas perlawanan.

Gol pertama TFC dijaringkan oleh pemain import, Habib Haroon pada minit ke-75 dan gol
kedua pula hasil sentuhan Manuel Ott minit ke-81.
Sementara itu pengendali TFC, Mohd. Nafuzi Zain, memuji karekter anak-anak buahnya yang meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam semua pertandingan.
Jelasnya, TFC mempamerkan permainan tersusun dari minit dari minit pertama sehingga wisel penamat meskipun tanpa aksi kompetitif selama hampir dua bulan.
“Pemain-pemain menunjukkan kemahuan untuk memenangi perlawanan ini dan dua gol berkualiti daripada Habib (Haroon) dan (Manuel) Ott memberikan kepuasan kepada saya,” katanya.