PETALING JAYA: Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon berkata, ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk untuk pemainnya berasa kecewa dengan kekalahan, sebaliknya perlu fokus untuk perlawanan seterusnya.
Misi anak-anak buah Pan Gon memburu tujuh mata untuk layak ke Piala Asia 2023 lebur apabila tewas 1-2 kepada Bahrain dalam aksi cukup sengit dengan keadaan padang becak di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Kekalahan itu juga menyaksikan Malaysia berada di kedudukan kedua Kumpulan E dan terpaksa melepaskan status juara kumpulan kepada Bahrain yang mengutip enam mata maksimum selepas dua perlawanan.
Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya masih berpeluang memburu slot ke Piala Asia menerusi posisi lima naib juara terbaik dan perlu turun dengan misi wajib menang ke atas Bangladesh esok untuk menghidupkan peluang.
Menurut Pan Gon, aksi yang dipamerkan pemain ketika menentang Bahrain wajar dijadikan pengajaran dan dia mahu anak-anak buahnya kembali bangkit menentang Bangladesh dalam perlawanan terakhir esok.
“Lebih baik kita memandang ke depan daripada memikirkan apa yang sudah berlaku. Saya tidak boleh merungut kerana pemain sudah memberikan yang terbaik. Kita tidak boleh melonjak ke tempat yang lebih tinggi hanya dalam beberapa hari.
“Kita perlu yakin dan bangga dengan apa yang sudah kita lakukan. Kita perlu fokus untuk perlawanan seterusnya kerana saya rasa ini adalah caranya sebagai seorang yang profesional untuk mewakili negara.
“Kita perlu betulkan kesilapan dan tunjukkan semangat untuk mencapai sasaran seperti yang penyokong mahukan, Inilah caranya kerana tiada masa untuk menyesal dan kecewa.
“Kita ada perancangan dan kini kita ada semangat berpasukan yang lebih tinggi. Apa yang pasti kita tidak boleh terlepas peluang untuk ke pusingan akhir dan pemain tahu betapa pentingnya perlawanan terakhir ini,” kata Pan Gon dalam sidang akhbar selepas tamat permainan kelmarin.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan menurunkan kesebelasan berbeza menentang Bahrain walaupun mereka cemerlang ketika menang ke atas Turkmenistan, Pan Gon berkata, pertukaran lima pemain dalam kesebelasan utama pada sebenarnya sudah dirancang.
“Pertukaran pemain ini adalah taktikal yang sudah dirancang untuk pertemuan dengan Bahrain kerana pemain akan berasa letih apabila bermain tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Pan Gon juga mengakui tumpuannya lebih terarah kepada persiapan skuad negara dan enggan memikirkan sama ada Bangladesh akan menjadi lawan yang mudah buat anak buahnya.
“Kita tidak tahu (kekuatan Bangladesh) kerana kita lebih fokus pada pasukan kita. Strateginya, kita mahu mendapatkan mata tetapi tiga aksi dalam tempoh tujuh hari adalah satu cabaran.
“Kita akan melakukan persiapan yang baik dan melihat kepada Bangladesh yang menggunakan skuad sama dalam dua perlawanan, mungkin kita ada kelebihan,” katanya.