PETALING JAYA: Penampilan semula Brendan Gan diatas padang selaku ketua pasukan Selangor bukan sahaja menggamitkan emosi dalam kalangan penyokong malah juga buat dirinya sendiri.
Disahkan mengidap kanser testis, bekas kapten Harimau Malaya itu, memiliki jiwa kental berperang dengan kesakitan dengan bangkit membuktikan kemampuannya.
Keputusan pengendali Selangor, Michael Feichtenbeiner menyenaraikan Brendan dalam kesebelasan utama nyata berbaloi ketika pemain itu memulakan malam gemilang Selangor membelasah Sarawak United 7-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam kelmarin.
Baginya, kejayaan membantu pasukan dengan ledakan gol pertama ketika menang 7-0 ke atas Sarawak United memberikan kepuasan.
“Hari yang cukup beremosi buat diri saya selepas mengharungi tahun yang agak sukar. Bukan senang untuk kembali dan bermain, ia nyata beri kepuasan namun ini bukan pengakhiran,” ujar Brendan.
Sementara itu, Feichtenbeiner mengakui Brendan berhak mendapat habuan selepas berhempas pulas untuk atasi masalah kesihatan dihadapinya.
“Tiada siapa yang lebih berhak kecuali Brendan. Sejak beberapa bulan lalu dia buktikan dirinya tidak pernah berputus asa dan sentiasa bekerja keras untuk kembali bermain.
“Memang dia lalui tempoh masa yang agak sukar tetapi dia sudah tunjukkan kepada kita.
Selepas mendahului 3-0, saya fikir saya perlu rehatkannya dan harap dia mampu tampil lebih baik lagi,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, Brendan membuka jaringan buat Selangor seawal minit ke-7 manakala bintang import, Herlison Caion meledak hatrik sementara tiga lagi gol Selangor dijaringkan oleh Nor Hakim Hassan, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau dan Hyuri Henrique.