BEIJING: Hampir 480,000 penduduk di beberapa wilayah dipindahkan susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang berlaku di selatan China.
Hujan lebat yang melanda sejak beberapa hari lalu menyebabkan banyak sungai melimpah dan mengakibatkan banjir di kawasan rendah.
Situasi itu menjejaskan banyak kilang pengeluaran, premis perniagaan dan operasi logistik yang sebelum ini sudah pun tergendala akibat kawalan ketat Covid-19.
Purata hujan yang turun di wilayah Guangdong, Fujian dan Guangxi antara awal Mei dan pertengahan bulan ini mencecah 621 milimeter, tertinggi sejak 1961.
Media tempatan melaporkan, orang ramai dipindahkan ke sejumlah sekolah yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara di bandar Shaoguan di Guangdong.
Di wilayah Guangxi, banjir menenggelamkan kawasan kejiranan dan pasukan keselamat menggunakan bot getah untuk membawa penduduk keluar dari kawasan bencana.
Lebih 200,000 penduduk di Guangdong sudah dipindahkan setakat ini dan kesan kemusnahan yang direkodkan di wilayah itu akibat bencana yang berlaku dianggarkan berjumlah AS$254 juta (RM1.1 bilion).
Jabatan Meteorologi juga memaklumkan, sebanyak 28 sungai di Guangxi sudah melebihi paras bahaya dengan hujan lebat direkodkan masih melanda sehingga semalam.
Pada awal bulan ini, 21 orang terkorban selepas banjir yang disebabkan hujan lebat melanda wilayah Hubei di tengah China.
Bencana banjir yang berlaku di wilayah Henan pada musim panas tahun lalu menyaksikan 398 orang maut dan kerugian ekonomi berjumlah lebih AS$10 bilion (RM44 bilion). – AFP