PETALING JAYA: DAP akan mengatur pertemuan antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dengan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi menyelesaikan konflik antara dua pemimpin berkenaan kadar cukai tanah baharu di negeri tersebut.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau akan mengatur pertemuan antara Kon Yeow dan Guan Eng.
Kata beliau, kepemimpinan pusat DAP sangat bimbang dengan pertelingkahan terbuka dua pemimpin itu yang disifatkan sebagai tidak sihat dan tidak sesuai terutama dalam keadaan ketidakpastian geopolitik dan ekonomi semasa.
“Sebarang perselisihan faham, terutama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penyokong kerajaan mengenai keputusan kerajaan negeri, harus ditangani melalui mekanisme dalaman sedia ada dan bukannya disiarkan secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Guan Eng mendakwa, ramai pengundi tidak akan menyokong kepemimpinan Pulau Pinang sekiranya mereka tahu bahawa manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 membenarkan kenaikan kadar cukai tanah yang begitu tinggi.
Beliau berkata, manifesto ‘Kita Penang, Kita Boleh’ yang dilancarkan oleh parti itu sebelum pilihan raya negeri lalu tidak menyatakan bahawa kadar cukai tanah boleh dinaikkan sehingga beribu kali ganda.
Menjawab kritikan tersebut dalam sidang media, Kon Yeow berkata, inisiatif kerajaan negeri tidak terkandung dalam manifesto pilihan raya dengan menyatakan bahawa hujah terbabit tidak tepat.
Beliau turut memetik penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) sebagai contoh, dengan menyatakan bahawa ia tidak termasuk dalam manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-15, namun tetap dilaksanakan berdasarkan keperluan ekonomi semasa.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, Kon Yeow perlu mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan kerana ia melibatkan kepentingan awam serta suara pelbagai pihak berkepentingan.
Menteri Pengangkutan itu berkata, semakan kadar cukai tanah di kawasan komersial mungkin diperlukan bagi menjamin kelestarian kewangan kerajaan negeri, namun pendekatan yang diambil mesti seimbang, responsif dan berhemah.
“Terutama melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah awam, kadar cukai tidak wajar dinaikkan secara berlebihan dan seharusnya kekal pada kadar nominal,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pertikaian terbuka tersebut perlu dihentikan serta-merta dan disiplin parti mesti dipatuhi oleh semua pihak.
“Saya akan memanggil satu mesyuarat melibatkan kedua-dua pemimpin bagi menyelesaikan isu ini secara baik,” katanya.
Menurut beliau, tumpuan utama parti adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta menjaga kepentingan awam. – UTUSAN










