ARAU: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para wanita hebat yang menyertai bidang pertahanan dan keselamatan negara.
Titah baginda, bukan mudah menggalas tanggungjawab tersebut dan sudah semestinya terlalu banyak cabaran serta halangan yang harus ditempuh dalam menggalas tugas sebagai srikandi negara.
Baginda bertitah, pertahanan dan keselamatan adalah bidang yang sangat mencabar dan menguji ketahanan fizikal serta mental.
“Bidang tersebut juga lebih sinonim dan didominasi oleh golongan lelaki. Meskipun begitu, ini tidak bermakna wanita tidak mampu mengambil peluang untuk menceburi kerjaya dalam kedua-dua bidang berkenaan.
“Kebelakangan ini juga, semakin ramai kaum hawa memperaga tekad, iltizam dan sifat keberanian bagi memecah norma menyertai bidang ketenteraan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menandatangani sijil penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang telah menjayakan Webinar Women in Search of Excellence (WISE) Siri ke-8 anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) di sini.
Sijil tersebut adalah sebagai menghargai penglibatan, kerjasama serta komitmen semua pihak di bawah kepimpinan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dalam menjayakan penganjuran webinar tersebut yang bertajuk ‘Cabaran Wanita Dalam Keselamatan”.
Dalam pada itu, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen merangkap Pengerusi YTF turut mengucapkan penghargaan khas kepada para ahli panel undangan yang telah berkongsi ilmu, pengalaman serta pandangan berkaitan tema tersebut. – UTUSAN