'Tidak sesuai diadakan lagi PRU15' - Dr. Mahathir  - Utusan Malaysia

‘Tidak sesuai diadakan lagi PRU15’ – Dr. Mahathir 

DR. Mahathir Mohamad (dua dari kiri) dan isterinya, Tun Siti Hasmah Mohd Ali (kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Langkawi di Dataran Telaga Walk, Langkawi, hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau bimbang jumlah kes Covid-19 akan meningkat semula di negara ini sekiranya pilihan raya tersebut diadakan sekarang.

Ini kerana, menurutnya, kes baharu Covid-19 didapati masih meningkat sehingga mencecah 3,000 kes sehari.

“Sekarang, mungkin bukan masa yang sesuai untuk PRU. Kita kena ingat bahawa Covid ini tak mudah kita tepis. Dia (Covid-19) mungkin ada di mana-mana sahaja.

“Mungkin ada pula nama jenis (varian) baharu yang akan menyerang kita (selepas PRU-15),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi di Dataran Telaga Walk di sini hari ini.

Turut hadir isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Menurutnya, semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila kes Covid-19 melonjak berbanding sebelum pilihan raya tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, tindakan UMNO meminda perlembagaannya berhubung pemilihan parti sebagai jalan mudah bagi mengelakkan perpecahan dalaman parti itu.

“Mereka tahu kalau ada pemilihan akan berpecahlah UMNO, jadi mereka ambil jalan senang.

“Ini kalau dalam jangka yang pendek, tak apalah. Ini sampai berbulan nak tangguh. Itu bermakna UMNO tidak hormati perlembagaan dia,” ujarnya.

Semalam, Perhimpunan Agung Khas (EGM) UMNO meluluskan pindaan perlembagaannya yang membolehkan pemilihan parti dibuat enam bulan selepas PRU.

Pindaan Perlembagaan tersebut melibatkan 3 Fasal iaitu Fasal 10.16, 15.3 dan 18.2 yang kesemuanya melibatkan penangguhan pemilihan di semua peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

Usul pindaan itu dibentangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan mendapat sokongan sebulat suara daripada perwakilan yang hadir.  –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya