Kemasyhuran Imam al-Bukhari dari sudut kekuatan hafalannya dan kesungguhannya di dalam menjejak hadis Rasulullah SAW membuka mata masyarakat ketika itu untuk mengambil hadis dan ilmu daripada beliau. Maka setiap kali beliau sampai di sesuatu lokasi, masyarakat setempat akan berhimpun bagi mengambil manfaat daripada ilmunya.
Sebagai contoh, ketika Imam al-Bukhari tiba di kota Nishapur, penduduknya keluar beramai-ramai untuk menyambut kedatangan beliau. Malah, direkodkan seramai 4,000 penunggang kuda turut keluar bagi meraikan ketibaannya sebagai tanda penghormatan terhadap keilmuan dan kedudukannya.
Ini tidak termasuk lagi dengan mereka yang berjalan kaki dan berkenderaan keldai yang tidak melepaskan peluang untuk menyambut kedatangan Imam al-Bukhari ke bandar Naisabur.
Kemeriahan ini dinyatakan sendiri oleh Imam Muslim bin al-Hajjaj dalam ucapan beliau: “Apabila Muhammad bin Ismail tiba di Naisabur, saya tidak pernah melihat seorang pemimpin pun atau seorang alim pun yang diraikan sebegitu hebat oleh penduduk Naisabur seperti yang mereka lakukan terhadap beliau (al-Imam al-Bukhari). Mereka keluar menunggu kedatangan beliau dari jarak dua marhalah (sekitar 89.04 kilometer) dan tiga marhalah (sekitar 133.56 kilometer)”.
Dijangkakan jumlah murid Imam al-Bukhari adalah seramai puluhan ribu. Semasa beliau berada di Baghdad, jumlah yang hadir di dalam majlis ilmunya adalah melebihi 20,000 orang. Bahkan yang mendengar Sahih al-Imam al-Bukhari daripada beliau secara langsung adalah sekitar 90,000 orang.
Antara ulama besar yang mengambil hadis daripada Imam al-Bukhari adalah Abu ‘Abdillah: Muhammad bin Yusuf al-Firobriyy yang meninggal dunia pada tahun 320 hijrah, al-Imam Abu Zur‘ah: ‘Ubaydullah bin ‘Abdul Karim al-Rozi (penulis kitab Asami al-Dhu‘afa’) yang wafat pada tahun 264 hijrah, Abu Tolhah: Mansur bin Muhammad bin ‘Aliyy bin Qarinah al-Bazdawiyy al-Nasafiyy yang wafat pada tahun 329 hijrah, al-Qadhi Abu ‘Abdillah: al-Husain bin Ismail bin Muhammad al-Dhobbiyy al-Baghdadiyy al-Mahamiliyy yang wafat pada tahun 330 hijrah, al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (penulis Sahih Muslim) yang wafat pada tahun 261 hijrah, al-Imam Abu ‘Isa: Muhammad bin ‘Isa al-Tirmidziyy (penulis Sunan al-Tirmidziyy) yang wafat pada tahun 279 hijrah, al-Imam Abu Bakr: ‘Abdullah bin Muhammad yang turut dikenali dengan panggilan Ibnu Abi al-Dun-ya (penulis yang terkenal dengan pelbagai kitab) yang wafat pada tahun 281 hijrah, al-Imam Abu Bakr: Ahmad bin ‘Amr al-Bazzar (penulis Musnad al-Bazzar) yang wafat pada tahun 292 hijrah, al-Imam Abu Bakr: Muhammad bin Ishaq yang lebih dikenali dengan panggilan Ibnu Khuzaymah (penulis Sahih Ibni Khuzaymah) yang wafat pada tahun 311 hijrah dan al-Imam Abu al-Qasim: ‘Abdullah bin Muhammad al-Baghowiyy (penulis Mu’jam al-Sohabah) yang wafat pada tahun 317 hijrah.
Akidah Imam Al-Bukhari
Imam al-Bukhari adalah berakidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dengan mengikut aliran ulama Salaf yang beriman dengan ayat-ayat Mutasyabihat dengan cara menyerahkan makna sebenarnya kepada Allah tanpa menjisimkan Allah dan tanpa menyerupakanNya dengan makhluk.
Walaupun begitu Imam al-Bukhari ada kalanya turut mentakwil beberapa ayat dan hadis Mutasyabihat. Sebagai contoh beliau telah memahami bahawa firmah Allah di dalam Surah al-Qasas ayat ke-88 “Segala sesuatu adalah binasa kecuali wajah-Nya” adalah bermaksud: kerajaanNya.
Maka ini bermakna beliau lebih cenderung dengan cara ulama Salaf dalam memahami ayat-ayat Mutasyabihat sekalipun beliau juga dalam beberapa keadaan turut berpegang dengan manhaj ulama Khafal yang mentakwil ayat-ayat Mutasyabihat.
Perlu difahami dengan baik berpegang dengan pandangan Salaf bukan bererti mempercayai Allah berlokasi dan beranggota tubuh sebaliknya adalah berpegang bahawa segala ayat-ayat Mutasyabihat adalah benar-benar daripada Allah Taala dan mempunyai maksud yang tersendiri yang diinginkan oleh Allah. Namun semestinya maksud yang diinginkan oleh Allah bukanlah kefahaman bahawa Allah bertempat dan bertubuh badan kerana ia adalah mustahil bagi Allah.
Imam al-Bukhari turut menghasilkan karya khusus bagi mengkritik golongan muktazilah yang menyatakan bahawa Allah tidak menciptakan perbuatan manusia. Menerusi kitab Khalqu Af’al al-‘Ibad (Perbuatan Makhluk Adalah Makhluk), al-Imam al-Bukhari telah mengkritik golongan Muktazilah yang menyatakan bahawa al-Quran adalah makhluk ciptaan Allah sedangkan perbuatan manusia pula di sisi mereka adalah bukan makhluk ciptaan Allah. Pendirian al-Imam al-Bukhari yang berpegang bahawa perbuatan manusia adalah ciptaan Allah Taala dan ucapan kita adalah termasuk di dalam katagori perbuatan kita adalah merupakan pendirian yang sama yang turut diimani oleh al-Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ariyy yang merupakan tokoh utama di dalam aliran akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Ibadah dan kezuhudan Imam Al-Bukhari
Imam al-Bukhari terkenal dengan kedermawanan yang hebat khususnya kepada para penuntut ilmu. Beliau sangat menjaga lidahnya daripada mengumpat dan menista. Orangnya sangat tawaduk. Beliau tidak terkesan dengan makian dan pujian sehingga beliau tidak bergembira dengan pujian manusia kepadanya dan beliau juga tidak marah dengan makian manusia terhadapnya.
Ketika al-Imam al-Bukhari tiba di bandar Marw (satu bandar di Turkmenistan) setelah beliau dikecam hebat oleh masyarakat Naisabur yang tersalah faham terhadap ucapan al-Imam al-Bukhari, beliau telah disambut oleh seorang ulama Marw yang bernama al-Imam Ahmad bin Sayyar al-Marwaziyy (wafat pada tahun 268 hijrah) lalu beliau berkata kepada al-Imam al-Bukhari: “Wahai Abu ‘Abdillah. Kami tidak menyanggahimu terhadap apa yang anda nyatakan. Namun orang awam tidak dapat menerimanya daripadamu”. Lalu al-Imam al-Bukhari pun terus berkata: “Sesungguhnya saya takut akan neraka [sekiranya] saya ditanya tentang sesuatu yang saya ketahui bahawa ia adalah benar namun saya berkata pula dengan selainnya”.
Al-Hasan bin al-Husain al-Bazzaz pernah berkata: “Saya pernah melihat Muhammad bin Ismail bin Ibrahim ketika beliau sudah tua. Badannya kurus, tidak tinggi dan tidak pula pendek”. Menurut Fadhilat al-Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya‘qubiyy; berkemungkinan sebab al-Imam al-Bukhari bertubuh kurus adalah kerana beliau seorang yang sangat sedikit makan. Beliau pernah menghabiskan 40 tahun hanya dengan makan roti tanpa sebarang pencecah.
Sehingga akhirnya beliau jatuh sakit dan para tabib menyatakan bahawa ubatnya adalah beliau hendaklah makan roti bersama-sama dengan pencecah. Pada awalnya beliau tetap tidak mahu makan sebarang pencecah dan hanya makan roti semata-mata. Namun setelah dipujuk oleh para ulama dan para pelajar yang risau akan kesihatannya, beliaupun akhirnya beliau mengalah dan makan roti dengan gula.
Adapun kesungguhannya dari sudut ibadah, al-Imam al-Bukhari telah mengkhatamkan bacaan 30 juzuk al-Quran sebanyak sekali khatam pada setiap siang sepanjang bulan Ramadan. Pada malam Ramadan pula setelah selesai melaksanakan solat Tarawih, beliau akan mendirikan malam dengan solat-solat sunat sehingga mengkhatamkan bacaan 30 juzuk al-Quran sebanyak sekali khatam bagi setiap tiga malam. Ini bermakna sepanjang bulan Ramadan, al-Imam al-Bukhari akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 40 kali iaitu 30 kali pada waktu siang dan 10 kali pada waktu malam!
(bersambung)
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










