KANGAR : Berpakat dengan pengurus sebuah stesen minyak di sini bagi membolehkan pembelian sehingga 17,000 liter minyak bersubsidi sehari yang kemudian dijual kepada kenderaan asing dari negara jiran dengan keuntungan sekitar 0.45 sen seliter.
Difahamkan, sindiket berkenaan beroperasi sejak sebulan lalu dan sekurang-kurangnya sudah membeli sehingga 510,000 liter minyak yang jika terjual semuanya mampu meraih keuntungan sebanyak RM229,500.
Bagi melancarkan operasi mereka, sindiket tersebut turut bekerjasama dengan seorang wanita pemilik premis bagi menyembunyikan bahan api berkenaan di stor makanan sejuk beku di Padang Besar.
Bagaimanapun, penyelewengan tersebut berjaya ditumpaskan oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri dalam dua serbuan berasingan semalam.
Serbuan pertama kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Kangar selepas mendapat maklumat awam dan risikan dijalankan selama beberapa minggu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Mohamad Amir Abdullah berkata, ketika serbuan, dua individu yang menggunakan kereta jenis Proton Iswara dan Waja sedang mengisi minyak bersubsidi petrol RON95 dan diesel ke dalam tong minyak jenis ‘jerry can’ melalui dua pam minyak berasingan.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah tong jerry can di dalam dua kenderaan tersebut yang berisi cecair disyaki minyak bersubsidi petrol RON95 serta diesel.
Ujarnya, ekoran itu, dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 50-an serta seorang wanita berumur 40-an yang juga pengurus stesen minyak tersebut ditahan.
“Siasatan lanjut juga mendapati wujud transaksi pembayaran tunai kepada stesen minyak berkenaan. Mereka ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat KPDNHEP di sini hari ini.
Susulan tangkapan pertama itu, serbuan kedua dilakukan di sebuah stor tanpa nombor di Kampung Kolam, Padang Besar yang menjadi tempat pengumpulan minyak bersubsidi RON95 dan diesel untuk dijual kepada kenderaan asing.
Kata Mohamad Amir, dalam serbuan itu, pihaknya menemukan beberapa tong disyaki berisi bahan bakar tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati pemilik premis itu tidak mempunyai kebenaran bertulis bagi memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual daripada Pengawal Bekalan.
“Susulan serbuan tersebut, seorang wanita dipercayai pemilik premis tersebut yang berumur 50-an ditahan dan pihak KPDNHEP menyita kira-kira 2,420 liter minyak bersubsidi RON95 dan 500 liter minyak diesel bersubsidi.
“Kita turut merampas dua buah kenderaan, tong minyak, tong dram, pam bermotor serta dokumen perniagaan dengan jumlah dianggarkan berjumlah RM19,056,” katanya.
Katanya, modus operandi mereka adalah membeli minyak bersubsidi RON95 dan diesel di sebuah stesen minyak di Kangar sebelum diisi dalam tong minyak jerry can menggunakan kenderaan dan pemandu tempatan.
“Mereka bergerak bermula dari pukul 10 pagi bagi membeli bahan bakar bersubsidi sehingga stesen berkenaan tutup. Seterusnya berulang-alik dengan mengelak sekatan jalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar menggunakan laluan kampung sejauh kira-kira 45 kilometer.
“Bahan bakar itu kemudiannya dibawa pulang ke stor tidak bernombor yang juga menjalankan perniagaan makanan sejuk beku sebelum dijual kepada kepada kenderaan asing dari negara jiran dengan mengambil untung kira-kira 0.45 sen seliter,” katanya.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan orang perseorangan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya. – UTUSAN