PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) boleh menggantung lesen syarikat pengendali e-hailing sekiranya wujud pelanggaran surcaj tambang kepada penumpang.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, mengikut dasar sebelum ini, pengendali e-hailing diberi kelonggaran mengenakan surcaj maksimum sehingga 200 peratus daripada tambang asas.
Menurut beliau, pengendali e-hailing mengenakan tambang asas antara 70 hingga 90 sen bagi setiap kilometer (KM) berbanding RM1.25 setiap KM bagi perkhidmatan teksi.
“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang melakukan siasatan mengenai perkara itu dan jika wujud pelanggaran, lesen mereka akan digantung.
“Kita tengah siasat dari semua aspek kerana akhirnya perlesenan (kuasa memberi lesen) terletak pada MOT.
“Jangan paksa saya untuk ‘perang’ kerana apabila sampai satu tahap dan saya tiada pilihan, maka saya akan lakukan sesuatu termasuk mengawal selia industri ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, beliau juga mahu pengendali e-hailing menjawab sendiri rungutan orang awam atas apa isu yang berlaku ketika ini termasuk kenaikan tambang.
Ka Siong berkata, MOT tidak akan bantu mereka menerangkan apa masalah yang berlaku.
“Satu perkara yang saya tidak sedap dengar adalah mereka (pengendali e-hailing) dakwa MOT tidak bantu mereka dan ia tidak betul sama sekali.
“Kalau tak dapat cari pemandu, jangan marah kepada MOT. Ia bukan masalah kami, itu masalah kamu. Mereka tidak cukup orang (pemandu), kita pula dipersalahkan,” katanya.
KWSP
Jelasnya lagi, beliau hairan kenapa pengendali e-hailing cuba mengaitkan pengeluaran RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai faktor peningkatan perkhidmatan e-hailing ketika ini.
“Alasan ini tidak masuk akal dan sebab itu kita minta APAD siasat,” katanya.
Ditanya sama ada MOT akan menyemak semula ketetapan surcaj maksimum 200 peratus bagi tambang e-hailing itu, Ka Siong berkata, dasar itu ditetapkan oleh menteri terdahulu dan ia membezakan perkhidmatan teksi dan e-hailing.
“Saya masih tunggu laporan siasatan lengkap oleh APAD sebelum melakukan apa-apa keputusan lain yang berkaitan,” katanya.
Katanya, pengguna sebenarnya mempunyai pilihan untuk memilih perkhidmatan e-hailing yang sesuai kerana ketika ini ada 28 buah syarikat e-hailing beroperasi di negara ini.- UTUSAN