Kami tak rela pulang tangan kosong- Mukhairi - Utusan Malaysia

Kami tak rela pulang tangan kosong- Mukhairi

SKUAD B-23 negara kembali bersemangat apabila turun menentang Indonesia bagi aksi perebutan pingat gangsa Sukan SEA Vietnam.- UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Tidak rela kecewa buat kali ketiga, kapten pasukan Bawah 23 (B-23) tahun negara, Mukhairi Ajmal menyeru rakan sepasukannya turun dengan semangat juang dan keinginan yang tinggi dalam perebutan pingat gangsa Sukan SEA Vietnam menentang Indonesia di Stadium My Dinh, petang ini.

Tonggak Selangor FC itu, berkata, ia juga peluang untuk dia dan beberapa pasukan yang bersama skuad Harimau Malaya di Piala AFF tahun lalu menebus maruah susulan kekalahan kepada lawan sama di kejohanan tersebut.

“Saya berbangga dengan semua rakan sepasukan sebab kita sudah melangkah jauh walaupun banyak halangan, susah dan senang dilalui untuk mara hingga ke peringkat ini.

“Semua pemain telah memberi yang terbaik sepanjang berada di temasya ini meskipun kebanyakkan pemain, kali pertama bermain di Sukan SEA.

“Ini bukan sahaja peluang saya dan beberapa rakan lain menebus kekecewaan di Piala AFF apabila tewas dengan Indonesia tetapi ia juga cara terbaik untuk kami tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Mukhairi, Quentin Cheng dan Luqman Hakim Shamsudin antara barisan pemain yang bersama skuad senior pada kempen Piala AFF 2020 di Singapura ketika tewas 1-4 kepada Indonesia pada aksi terakhir peringkat kumpulan, menyaksikan pasukan kendalian Harimau Malaya pulang awal.

Ketika ditanya mengenai kegagalan mara ke final selepas tewas 0-1 kepada tuan rumah, Vietnam, dia mengakui setiap pemain berasa sangat kecewa termasuk dirinya namun tumpuan sepenuhnya kini terarah apabila turun menentang Indonesia.

“Kecewa dan sedih semua ada… tetapi kami semua sudah Ok dan mahu tumpu sepenuhnya kepada aksi menentang Indonesia.

“Saya rasa kelebihan kepada skuad negara selepas beberapa tonggak Indonesia dilayangkan kad merah pada aksi menentang Thailand tetapi kita tidak boleh ambil mudah dan harus berikan yang terbaik,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya