Che Ta terima menantu, Ammar sah bergelar suami Auni - Utusan Malaysia

Che Ta terima menantu, Ammar sah bergelar suami Auni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta, menerima menantu apabila anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hati, Auni Ikhwan, dalam majlis akad nikah yang berlangsung di GlamHall Damansara, Damansara Perdana, malam ini.

Pasangan itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz kira-kira pukul 8.41 malam selepas dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Ikhwan Hashim, yang juga bertindak sebagai wali.

Majlis akad nikah berkonsepkan Garden Wedding yang berlangsung bersempena 10 Muharam itu dihadiri lebih 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.

Pada majlis berkenaan, Ammar menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 selain wang hantaran berbentuk jongkong emas. Kedua-dua pihak turut berbalas tujuh dulang hantaran, manakala cincin berlian seberat 1.8 karat disarungkan kepada pengantin perempuan ketika upacara membatalkan air sembahyang.

Che Ta yang ditemui selepas majlis tidak dapat menyembunyikan rasa sebak apabila melihat anak sulungnya melangkah ke alam rumah tangga.

“Teruslah bersama walaupun dalam keadaan tidak sempurna dan apa juga yang berlaku. Saya harap Ammar menjadi suami yang melindungi, bukannya bersikap mengongkong.

“Buat Auni pula, jadilah isteri yang sentiasa mendampingi suami. Dalam rumah tangga, genggamlah tangan antara satu sama lain dalam setiap keadaan dan jangan sesekali melepaskannya ketika diuji,” katanya.

Menurut pelakon drama Kiah Pekasam itu, kebahagiaan rumah tangga bukan diukur melalui ketiadaan ujian, sebaliknya kemampuan pasangan untuk terus bersama ketika berdepan cabaran.

“Perkahwinan bukan seperti menukar pakaian. Pasti ada dugaan dan ragam, lebih-lebih lagi apabila dikurniakan cahaya mata nanti. Apa yang penting ialah bertolak ansur, saling memahami dan jangan memilih jalan mudah apabila berdepan masalah.

“Saya doakan mereka terus membina rumah tangga yang dipenuhi sakinah, mawaddah dan warahmah,” ujarnya.

Mengulas tema majlis, Che Ta berkata, konsep Garden Wedding dipilih hasil persetujuan kedua-dua keluarga dengan menampilkan suasana yang ringkas dan minimalis.

Pada majlis itu, Ammar segak mengenakan persalinan serba putih rekaan Man Kajang, manakala Auni tampil anggun dalam busana putih hasil sentuhan Zaimi Zulkifly.

Majlis turut dikendalikan Ahmad Fedtri Yahya selaku pengacara, manakala bacaan doa disempurnakan oleh Pencetus Ummah (PU) Amin.

Terdahulu, Ammar dan Auni mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober tahun lalu.

Ammar kini bertugas sebagai pegawai di sebuah institusi perbankan, manakala Auni berkhidmat dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat swasta.

Pasangan itu dijadualkan diraikan dalam majlis resepsi bertemakan Black Tie di sebuah hotel di I-City, Shah Alam, malam esok sebelum majlis bertandang diadakan pada 4 Julai depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN