PORT DICKSON: Kebanyakan inap desa di negeri ini penuh ditempah orang ramai sepanjang Syawal sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
Setiausaha Persatuan Kampungstay dan Homestay Negeri Sembilan, Mistam Taib berkata, tempahan tersebut diterima sejak awal Ramadan dan melibatkan tetamu domestik.
“Tiga buah inap desa iaitu D’Pelandok Best Port Dickson, Homestay Rawa di Seremban dan Homestay Lonek di Jempol telah penuh ditempah oleh tetamu yang datang dari Kuala Lumpur dan Perak.
“Mereka menempah penginapan bermula 5 hingga 31 Mei ini. Ada tetamu yang menempah penginapan selama tiga hari dua malam dan paling lama adalah lima hari empat malam,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Menurut Mistam, tetamu yang memilih tinggal di inap desa adalah kerana mereka mahukan suasana kampung dan selain berdekatan dengan laut.
“Ada yang menghubungi dan memaklumkan mereka mahu bercuti dalam suasana kampung kerana rumah keluarga mereka berada di taman perumahan dan tidak mempunyai kampung pada Hari Raya ini,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, walaupun terdapat kelonggaran selepas ini, pihaknya masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada seperti memakai pelitup muka dan mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki inap desa di negeri ini.
“Kami masih mengekalkan SOP tersebut bagi memastikan pengunjung dapat menginap dengan selamat dan mengelak dijangkiti Covid-19,” katanya. – UTUSAN